ENA Suhaila (kanan) berkata inisiatif berkenaan diharap dapat membantu meringankan bebanan ditanggung bekas atlet. FOTO HAZREEN MOHAMAD
ENA Suhaila (kanan) berkata inisiatif berkenaan diharap dapat membantu meringankan bebanan ditanggung bekas atlet. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Seremban: Situasi yang melanda beberapa bekas atlet apabila terpaksa mengharungi keperitan hidup selain menghidap pelbagai penyakit kronik mendapat perhatian syarikat Gardenia untuk menghulurkan bantuan sewajarnya kepada mereka.

Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Ena Suhaila Abas berkata, pihaknya dengan kerjasama Harian Metro menerusi program Titipan Kasih sempena Anugerah Ikon Sukan (AIS) berbesar hati menyampaikan sumbangan berupa makanan dan wang tunai kepada atlet yang memerlukan.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan diharap dapat membantu meringankan bebanan ditanggung bekas atlet yang ada antara mereka mengalami kesempitan hidup apabila tiada punca pendapatan tetap.

"Kami juga prihatin terhadap kesusahan yang dialami bekas atlet dan untuk itu bekerjasama dengan Harian Metro dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk membantu mereka.

"Kami berharap dengan sumbangan ini dapat mengurangkan bebanan mereka terutama dalam mendapatkan rawatan susulan di hospital kerana ada antaranya menghidap penyakit kronik," katanya.

Terdahulu, Gardenia turut menyalurkan sumbangan kepada atlet kurang bernasib baik seperti bekas atlet angkat berat Samah Ali dan olimpian negara, S Sabapathy.

Bantuan terbabit disampaikan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro Hussain Jahit ,Pengarang Berita Kanan (Sukan & Hiburan) Harian Metro Abdul Manan A Samad dan Pengerusi Yakeb Datuk Noorul Ariffin.

Mengikut rekod, menerusi penganjuran AIS yang akan berlangsung 8 Januari depan, Harian Metro akan menyampaikan sumbangan kepada lima bekas atlet kurang bernasib baik dalam usaha mengurangkan bebanan ditanggung mereka.

Sebelum ini, Harian Metro menerusi program titipan kasih sempat menyampaikan sumbangan kepada bekas pemain kebangsaan Allahyarham Hashim Mustapha sebelum beliau meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 6:04 PM