HUSAIN beramah mesra dengan bekas atlet ketika program TKHM. FOTO fariz Iswadi Ismail
HUSAIN beramah mesra dengan bekas atlet ketika program TKHM. FOTO fariz Iswadi Ismail
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bagi membantu meringankan beban hidup bekas atlet diharapkan mampu membuka mata pihak di luar sana untuk terus membantu golongan berkenaan.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, inisiatif yang dilakukan dengan kerjasama Yayasan kebajikan Atlet (Yakeb) dan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd hanyalah sebagai pembuka jalan dalam memastikan kebajikan bekas atlet ini sentiasa terbela dan diberi perhatian.

"Alhamdulillah, kelima-lima rumah bekas atlet yang dirancang sebelum ini sudah di lawat dan kita juga sudah menyantuni kesemua mereka. Apa yang saya lihat menerusi kelima-lima lawatan ini, keperluan setiap bekas atlet itu sebenarnya berbeza antara satu sama lain.

"Kami bersama Yakeb dan Gardenia ini hanya sebagai pembuka jalan dan itu sebab kita perlu buat program ini.

"Bila cerita-cerita mereka ini keluar, ia secara tidak langsung akan membuka mata orang lain untuk membantu meringankan beban mereka," katanya.

Mengikut rekod, menerusi penganjuran AIS yang berlangsung 8 Januari depan, HM menyampaikan sumbangan kepada lima bekas atlet kurang bernasib baik dalam usaha mengurangkan bebanan mereka.

Sebelum ini, sumbangan kepada bekas pemain kebangsaan Allahyarham Hashim Mustapha dan mendiang S Sabapathy sebelum beliau meninggal dunia.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Harian Metro dan Gardenia yang sudi bekerjasama dalam meringankan beban bekas atlet kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 2:04 PM