AIMAN gembira mengekalkan Jersi Merah selaku Raja Bukit di LTdL 2022 selepas perlumbaan Peringkat Ketiga dari Putrajaya ke Genting Highlands, hari ini. FOTO FATAHIL ASRI
AIMAN gembira mengekalkan Jersi Merah selaku Raja Bukit di LTdL 2022 selepas perlumbaan Peringkat Ketiga dari Putrajaya ke Genting Highlands, hari ini. FOTO FATAHIL ASRI
Ferzalfie Fauzi


Genting Highlands: "Segala yang saya rancang menjadi hari ini."

Pengakuan itu dijelaskan pelumba Terengganu Polygon Cyling (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff yang berjaya mengekalkan Jersi Merah selaku Raja Bukit sebaik berakhir Peringkat Ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari Putrajaya hingga ke Genting Highlands.

Sebanyak empat zon pendakian ditawarkan dalam perlumbaan sejauh 124.2 kilometer (km) itu, dengan dua daripadanya di Tekali dan Look Up Point Ampang berjaya dikuasai Aiman.

Bagaimanapun, baki dua lagi di Gohtong Jaya dan puncak Genting Highlands menjadi milik Carter Bettles (Ara Pro Racing Sunshine Racing) dan juara peringkat ketiga, Ivan Ramiro Sosa (Movistar).

Strategi itu sudah memadai buat Aiman apabila mengumpul keseluruhan 29 mata untuk mengekalkan gelaran Raja Bukit, sekali gus menyamai pencapaiannya pada edisi 2020.

"Saya berjaya tawan dua zon pendakian awal perlumbaan hari ini yang membolehkan saya mengutip mata.

"Esok tiada zon pendakian ditawarkan, dan saya akan kembali pertahankan semula jersi ini pada peringkat kelima (Sabtu).

"Saya amat berharap dapat mempertahankan jersi ini sehingga tamat perlumbaan walaupun cabaran tahun ini adalah jauh lebih sengit," jelas Aiman yang juga pelumba kelahiran Terengganu.

Pelumba terbaik negara untuk Peringkat Ketiga ini menjadi milik pelumba muda skuad kebangsaan, Kee Zhie Yie yang mengakhiri perlumbaan di tangga ke-39.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 6:52 PM