AIMAN (depan) memenangi Jersi Merah pada peringkat kedua LTdL 2022 dari Kuala Klawang ke Raub, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
AIMAN (depan) memenangi Jersi Merah pada peringkat kedua LTdL 2022 dari Kuala Klawang ke Raub, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
Ferzalfie Fauzi


Raub: Selepas melakukan kesilapan di perlumbaan peringkat pertama Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 semalam, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff akhirnya berjaya merampas Jersi Merah selaku Raja Bukit, hari ini.

Perlumbaan Peringkat Kedua dari Kuala Klawang ke Raub sejauh 178.9 kilometer (km) menyaksikan Aiman tenang mengungguli dua zon pendakian di Petaseh dan Bukit Damar, hari ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu kini memungut 17 mata keseluruhan dan berjaya merampas gelaran Raja Bukit daripada rakan sepasukan, Jambaljamts Sainbayar.

"Alhamdulillah memang saya sasar untuk menang Jersi Merah dari semalam lagi. Cuma semalam ada melakukan kesilapan.

"Saya baiki kesilapan itu dan berjaya merampasnya semula kerana itu sasaran saya untuk edisi tahun ini. Insya-Allah saya cuba mempertahankannya sehingga tamat edisi.

"Esok untuk peringkat ketiga (menuju ke Genting Highlands) saya cuba cari mata lagi untuk meraih mata di dua zon pendakian awal (Tekali dan Look Up Point Ampang).

"Saya akan cuba buat pemecahan awal seperti hari ini. Saya mahu ambil mata di dua zon pendakian awal itu bagi membolehkan saya berada di kedudukan selesa (Raja Bukit)," katanya yang juga pemenang pingat emas di Sukan Sea Hanoi, Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 6:11 PM