SHANMUGAM (kanan) bersama atlet Muay Thai Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SHANMUGAM (kanan) bersama atlet Muay Thai Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jurulatih import dari Thailand menjadi taruhan kontinjen Muay Thai Melaka dalam memenuhi misi mereka meraih emas di Sukan Malaysia (SUKMA XX,) September depan.

Justeru pengalaman luas pengendali dari negara jiran itu menjadi aset berharga buat Melaka untuk memantapkan persembahan atlet Melaka menjelang Sukma kali ini.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, V P Shanmugam berkata, Persatuan Muay Thai Melaka jelas serius untuk memenuhi sasaran meraih lima emas dalam percubaan kali ini walaupun berdepan cabaran hebat termasuk Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan dan kontinjen lain.

Menurutnya, jurulatih berkenaan dijangka mula berkhidmat selepas Aidilfitri membabitkan kontrak selama enam bulan namun dijangka mampu menyuntik sentuhan lebih hebat dalam kalangan atlet.

"Penyenaraian jurulatih yang memiliki 15 tahun pembabitan dalam sukan berkenaan antara usaha Melaka untuk memperkasa Muay Thai negeri terbabit termasuk membimbing bakat baharu sebagai pelapis masa hadapan.

"Saya yakin kontinjen Melaka mampu memenuhi sasaran berkenaan berdasarkan persiapan rapi mereka selain menyertai banyak kejohanan dalam memantapkan persembahan atlet," katanya selepas bertemu atlet terbabit di Gadek, Alor Gajah.

Melaka bakal diwakili sembilan atlet lelaki dan enam wanita menerusi sumbangan dan bimbingan lima pegawai pasukan yang berpengalaman.

Malah persatuan terbabit juga turut menganjurkan satu kejohanan di Melaka tidak lama lagi di Merlimau dalam meningkatkan daya saing atletnya.

Dalam perkembangan lain, Shanmugam berkata, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan 10 peratus pingat emas dalam setiap acara di SUKMA XX.

Menurutnya, kali ini yakin Melaka mampu meraih 25 pingat emas dalam acara keseluruhan pada SUKMA XX, sekali gus melebihi apa yang diraih sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 4:38 PM