SITI Nuraisyah menang emas powerlifting kategori  tidak melebihi 55 kilogram. FOTO Bernama
SITI Nuraisyah menang emas powerlifting kategori tidak melebihi 55 kilogram. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kejayaan mempertahankan pingat emas sukan powerlifting di temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, disifatkan cukup bermakna buat atlet para wanita Selangor, Siti Nuraisyah Sahrin.

Atlet berusia 19 tahun yang mengungguli kategori tidak melebihi 55 kilogram (kg) itu berkata selain mengulangi pencapaian sebelum ini, ia juga hadiah perkahwinan paling manis buatnya yang mendirikan rumah tangga pada Januari lepas.

"Suami (Amirul Ihsan) minta saya buat yang terbaik dan menang. Jadi saya hadiahkan pingat ini buat dia serta keluarga kami.

"Dah lama saya tak beraksi disebabkan pandemik, jadi gementar sedikit. Memang tak sangka kerana saya tak yakin boleh menang, tetapi hasil latihan saya berjaya mendapat keputusan seperti hari ini," katanya.

Pada aksi Para Sukma 2022 yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan hari ini, Siti Nuraisyah meraih emas selepas melakukan angkatan 50kg.

Pingat perak dimenangi wakil Johor, Eng Ling Li dengan angkatan 39kg manakala gangsa milik Nuramirah Jamaludin mewakili Sarawak dengan angkatan 37kg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 3:13 PM