AHMAD Shahmim bersama pingat emas dimenanginya.
AHMAD Shahmim bersama pingat emas dimenanginya.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Saya sebenarnya tak jangka dapat meraih emas ini selain dapat memecah rekod kebangsaan dan temasya."

Demikian nada gembira atlet dari Kelantan, Ahmad Shahmim Mohd Kadri selepas muncul pemenang pingat emas sukan powerlifting atas 49 kilogram (kg) di Sukan Para Sukma 2022, hari ini.

Angkatan 104kg dilakukannya di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan hari ini memecahkan rekod temasya dan juga kebangsaan iaitu 97kg yang sebelum ini dipegang atlet Kuala Lumpur, Syed Omar Syed Hashim di Para Sukma Perak 2018.

"Catatan angkatan terbaik peribadi saya di bawah 100kg. Kalau 100kg itu pun sebenarnya susah nak angkat. Tapi saya gembira kerana hari ini dapat melakukan 104kg kerana ini adalah emas pertama saya dalam mana-mana kejohanan disertai sebelum ini.

"Saya rasa, kejayaan ini hasil daripada dorongan kuat daripada ibu bapa dan juga jurulatih yang sentiasa berada di belakang saya," kata Ahmad Shahmim.

Dia yang bakal berusia 20 tahun pada bulan depan mengakui kejayaan itu meningkatkan semangatnya untuk mewakili negara layak kali pertama beraksi di Sukan Para Asean di Kemboja, tahun depan.

Sebelum ini, Shahmim pernah meraih gangsa di Sukan Para Sukma Perak 2018 dan sejak daripada itu, dia sentiasa berusaha untuk mengubah warna pingat diraihnya.

"Di Perak, saya meraih gangsa. Sejak daripada itu, saya sering melakukan latihan dengan lebih baik walaupun selepas itu negara dilanda Covid-19. Waktu itu, saya tetap menjalani latihan tanpa henti," katanya.

Pingat perak dikongsi atlet Sabah, Francis Xaver Kinjin dan Kedah, Noor Nasri Md Saad selepas kedua-duanya berkongsi angkatan 65kg.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 2:47 PM