ARSHAD (dua dari kanan) muncul juara acara 200m Sukma. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
ARSHAD (dua dari kanan) muncul juara acara 200m Sukma. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut Johor Muhammad Arsyad Md Saat melakukan kejutan apabila berjaya menewaskan raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) untuk memenangi acara 200 meter (m) lelaki sebentar tadi.

Acara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Arsyad berjaya memintas Raja Pecut Sukma 2022 Muhammad Azeem Mohd Fahmi pada 10 m terakhir untuk mengesahkan emas miliknya menerusi catatan masa 21.02 saat (s).

Azeem yang sebelum ini memenangi emas acara 100m terpaksa berpuas hati dengan perbezaan hanya 0.01s manakala gangsa menjadi milik atlet Negeri Sembilan Muhammad Haiqal Hanafi (21.18s)

Namun, tewasnya Azeem pada kali ini mungkin disebabkan pelari berkenaan mengalami kecederaan pada 50m terakhir apabila kelihatan secara tiba-tiba memperlahankan larian dan memegang pehanya sebaik tiba di garisan penamat.

Arsyad berkata, pingat emas yang dimenangi cukup bermakna sempena hari lahir bapanya Md Saat Jaafar yang ke-59 hari ini.

"Saya hanya fikir untuk habiskan lari dan mengetahui strategi Azeem yang akan pecut terlebih dahulu. Oleh itu, saya mengikutnya dan apabila hampir di garisan penamat terus memecut untuk memperoleh emas.

"Pingat emas ini cukup penting kerana saya hadiahkan kepada bapa sempena hari lahirnya ke 59 hari ini. Ini hadiah untuk ayah dan saya berjaya membawa pulang emas untuk Sukma 2022," katanya yang juga pemenang pingat perak 100m.

Sementara itu, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal dari Selangor berjaya meraih pingat emas 200m wanita dengan catatan masa 24.83s.

Pingat perak dimenangi Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah dengan catatan 25.18s, manakala gangsa diraih KM Darshini (25.74s).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 4:47 PM