AZEEM akan menyertai acara 100, 200 dan 4x100m di temasya berkenaan. FOTO L MANIMARAN
AZEEM akan menyertai acara 100, 200 dan 4x100m di temasya berkenaan. FOTO L MANIMARAN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi perlu terus melakukan persiapan terbaik dan tidak memandang mudah cabaran pesaing lain apabila beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022, bulan depan.

Ini kerana, jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata beberapa lagi nama besar dijangka akan memberikan saingan sengit kepada pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) itu.

Antaranya termasuklah Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan, Muhammad Arsyad Md Saat (Johor) dan Muhammad Fakhrul Abdul Aziz (Pulau Pinang) dijangka menjadi ancaman utama kepada Azeem yang akan mewakili Perak.

"Pada Sukma kali ini, Azeem akan menyertai acara 100, 200 dan 4x100m. Namun, untuk acara lari berganti-ganti ia bergantung kepada keadaan semasa dia ketika itu.

"Nasihat saya kepada Azeem dia tidak boleh pandang rendah kemampuan atlet, dia perlu buat persiapan terbaik bagi menghadapi Sukma kali ini," katanya.

Amir berkata, beliau tidak meletakkan sasaran untuk Azeem pada temasya itu namun menganggap ia satu bonus jika pelari berusia 18 tahun itu dapat memenangi pingat emas.

"Perak memang meletakkan sasaran pingat kepada Azeem tetapi saya sebagai jurulatih secara peribadi hanya mahu dia melakukan yang terbaik. Sebarang keputusan yang diraih di Sukma saya terima dan jika dia menang emas itu adalah bonus untuk dirinya," katanya.

Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09 saat (s) di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, awal bulan ini.

Catatan itu menyaksikan Azeem memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan 10.18s ketika dia memenangi pingat emas pada Sukma 2016 di Sarawak.

Azeem layak sehingga peringkat akhir di Colombia namun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14s.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 6:36 PM