AZEEM berwaspada menjelang perlumbaan akhir acara 100m lelaki di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok. FOTO HAZREEN MOHAMAD
AZEEM berwaspada menjelang perlumbaan akhir acara 100m lelaki di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m), Muhammad Azeem Fahmi meramalkan tiada laluan mudah dan tetap menghormati atlet lain dalam misi memburu gelaran 'Raja Pecut' Sukan Malaysia (Sukma) 2022 menjelang aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Atlet berusia 18 tahun itu yang mewakili Perak menyifatkan wakil Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Arsyad Md Saat dari Johor antara pencabar utama dalam usahanya mendominasi acara riben biru itu.

"Insya-Allah kalau ada rezeki (menang pingat emas), tetapi saya tidak boleh memandang rendah kemampuan atlet lain. Seperti kita dapat tengok tadi, Haiqal berlari dalam keadaan bersahaja dan begitu juga Arsyad (turut berpotensi).

"Saya percaya mereka akan beri tentangan sengit dan saya akan buat yang terbaik," katanya yang layak ke pentas final selepas mengungguli saingan separuh akhir 2, hari ini.

Pada saingan separuh akhir itu, dia jauh meninggalkan pencabarnya apabila tiba di garisan penamat dengan catatan 10.33 saat (s) mengatasi atlet Pulau Pinang, Muhammad Fakhrul Abdul Aziz di tempat kedua yang mencatatkan 10.69s manakala Muhammad Idham Rosli dari Wilayah Persekutuan di tempat ketiga dengan 10.82s.

Azeem yang memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, awal bulan lalu, berkata dia berpuas hati dengan catatan masa dilakukan dalam saingan separuh akhir itu.

"Kalau ikutkan memang catatan dalam lingkungan itu yang kami sasarkan kerana sekarang saya lebih mementingkan konsistensi daripada melakukan 'improvement' yang banyak.

"Bagi saya kunci untuk berjaya adalah konsisten, kita boleh melakar pencapaian besar, tetapi kita perlu pastikan boleh kekalkannya.

"Selagi saya boleh buat bawah 10.40s atau 10.30s, ia adalah sesuatu yang baik untuk saya," katanya.

Haiqal yang juga pemenang emas Sukan Sea Manila 2019 melangkah ke pentas final selepas mengungguli saingan separuh akhir 1 dengan catatan 10.57s manakala Arsyad mendominasi separuh akhir 3 dengan catatan 10.54s.

Tiga pelari terpantas dalam setiap saingan separuh akhir layak ke pentas final.

Sementara itu, saingan wanita pula menyaksikan atlet Terengganu, Nor Sarah Adi mengungguli separuh akhir 1 dengan catatan 11.94s diikuti Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah (12.04s) kedua, pelari Terengganu, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka ketiga (12.42s) dan Erissca Peter dari Sarawak keempat (12.56s).

Saingan separuh akhir 2 wanita didominasi atlet Selangor, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal yang merakam masa terpantas manakala Feova Lim dari Sabah kedua (12.14s) diikuti atlet Terengganu, Siti Norzullaika Ramli ketiga (12.55s) dan wakil Sarawak, Emma Hill keempat (12.55s).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 5:47 PM