AZLAN    (dua dari kanan) bersalaman dengan  kontinjen   Perlis.
AZLAN (dua dari kanan) bersalaman dengan kontinjen Perlis.
Aizat Sharif


Kangar: Peruntukan insentif sebanyak RM250,000 disediakan oleh kerajaan negeri kepada atlet kontinjen Perlis yang akan bersaing dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Sarawak bermula 22 Julai ini.

Insentif itu diberikan sebagai saguhati dan penghargaan kepada atlet yang berada dalam prestasi terbaik serta cemerlang sepanjang temasya berlangsung.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata, seramai 303 orang terdiri daripada pengurus, jurulatih dan atlet dari negeri itu akan bertanding dalam 18 acara pada temasya berkenaan.

“Meskipun kami belum menetapkan jumlahnya secara tetap tapi paling tidak, insentif sebanyak RM5,000 akan diberi sebagai saguhati kepada mereka yang berjaya memenangi pingat.

“Kami harapkan ini sebagai pembakar semangat mereka untuk terus bersaing dengan atlet negeri lain,” katanya selepas majlis penyerahan bendera negeri kepada kontinjen SUKMA Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini, kelmarin.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Hamdan Bahari, Setiausaha Kerajaan Negeri Ahmad Zamri Khairuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Abdul Jamil Saad selaku Chef-de-Mission.

Katanya, selain insentif itu, ganjaran segera juga akan diberikan kepada atlet yang berjaya ‘menuai’ setiap pingat tanpa mengira warna pada acara sukan yang berprestij itu.

“Ganjaran itu berupa cenderahati sebanyak RM1,000 bagi atlet yang memenangi pingat emas, RM750 bagi pingat perak dan RM500 pingat gangsa,” katanya.

Menurutnya, Perlis yang menganjurkan SUKMA ke-17 dua tahun lalu menetapkan sasaran realisitik iaitu 10 pingat emas berdasarkan kekuatan atlet yang bertanding pada temasya kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 12:36 PM