JUWAIDI menang emas individu compound.
JUWAIDI menang emas individu compound.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Khabar gembira dari bumi Konya, Turkiye di hari terakhir Sukan Perpaduan Islam apabila atlet memanah, Mohd Juwaidi Mazuki terus cemerlang membidik emas buat negara dalam acara individu compound, hari ini.

Momentum kecemerlangan itu diteruskan selepas dia bersama Eugene Loh dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli menghadiahkan emas dalam acara trio dan gangsa dalam acara berpasukan campuran bergandingan bersama Nur Aina Yasmine Halim, semalam.

Ia dianggap penamat cukup menggembirakan buat atlet memanah kebangsaan itu apabila berjaya membawa rentak kejayaan di Sukan Sea Hanoi Vietnam ke Sukan Perpaduan Islam 2021 kali ini.

Dalam aksi final perseorangan lelaki itu, Juwaidi yang menghuni ranking ke-187 dunia berjaya menewaskan lawan dari Iran, Mohammadsaleh Palizban yang berada di ranking ke-57 dunia dengan keputusan 148-137.

Manakala gangsa milik atlet tuan rumah Haney Emircan yang menewaskan lawan senegara Uslu Egemen.

"Terima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) jurulatih dan rakan seperjuangan. Saya berjaya membawa pulang emas kedua untuk Malaysia.

"Saya sangat puas hati dan bangga. Dua emas. Memang satu bonus. Saya memang sasarkan dalam acara individu untuk penamat podium dan syukur Alhamdulillah rezeki saya dapat emas.

"Emas dalam berpasukan itu ekstra bonus dan yang tidak dijangka. Terima kasih banyak kepada semua pihak," katanya.

Juwaidi yang dipilih sebagai atlet terbaik di Sukan Sea itu menganggap kejayaan di Konya dengan dua emas dan satu gangsa itu cukup besar dan di luar jangkaan apabila berjaya menewaskan barisan pemanah berkelas dunia yang lain.

Terdahulu dalam aksi akhir pasukan kebangsaan yang menduduki ranking ke-44 dunia dibarisi Juwaidi, Eugene Loh dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli menumpaskan Indonesia, yang mempertaruhkan Deki Adika Hastian, Hendika Pratama Putra dan Prima Wisnu Wardhana, 229-228.

Katanya, kejohanan di Konya itu juga memberi pengalaman berguna buat dua lagi atlet muda negara Eugene dan Alang untuk membawa pengalaman yang diperoleh di bumi Turkiye ini ke kejohanan antarabangsa lain selepas ini.

Sementara itu ketika di temasya Sukan Sea Hanoi yang lalu, Juwaidi berjaya menggondol dua emas dalam acara compound individu dan berpasukan campuran seterusnya membolehkan dia diumumkan sebagai atlet terbaik bersama-sama Rachel Yeoh dalam acara gimnastik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:13 PM