JUWAIDI raih satu emas dan satu gangsa di Taiwan.
JUWAIDI raih satu emas dan satu gangsa di Taiwan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun berjaya membawa pulang satu pingat emas dan satu gangsa di Piala Asia yang berlangsung hujung minggu lalu, atlet memanah compound negara, Mohd Juwaidi Marzuki mengakui masih banyak lagi perlu diperbaiki bagi mengharungi jadual padat musim ini sebelum beraksi di Sukan Asia Hangzhou September depan.

Menurutnya, buat masa sekarang dia dan rakan sepasukan masih lagi dalam fasa percubaan berikutan melakukan banyak perubahan dari segi teknik panahan.

"Kalau kita lihat kepada keputusan di Piala Asia baru-baru ini, memang berjaya membawa pulang medal. Bagaimanapun, banyak benda lagi harus dilakukan," katanya yang meraih gangsa di Piala Asia di Taiwan hujung minggu lalu dalam acara individu.

Ujar Juwaidi, disebabkan perubahan teknik baru, dia dan rakan-rakan bakal beraksi dalam jadual padat musim ini dengan beraksi di Piala Dunia, Piala Asia dan Kejohanan Asia untuk mendapat sentuhan mantap di Hangzhou.

"Perubahan baru ini menyebabkan kami perlu tingkatkan lagi kuantiti latihan dan kejohanan sebelum ke Sukan Asia. Selepas ini kami akan beraksi di Piala Dunia di Turkiye dan Shanghai. Selepas itu ada satu lagi saingan Piala Asia di Singapura.

"Saingan terakhir sebelum ke Sukan Asia ialah di Kejohanan Asia di Bangkok. Apa pun, pencapaian di Taiwan baru-baru ini sedikit sebanyak menjadi pembakar semangat," katanya yang menjadi atlet terbaik negara di Sukan Sea Hanoi tahun lalu selepas meraih dua emas.

Ditanya mengenai acara berpasukan yang menyaksikan dia dan Mohammad Syafiq Md Ariffin serta Muhammad Alang Ariff meraih emas di Taiwan, Juwaidi mengakui mereka sekarang ini di landasan terbaik walaupun berlakunya perubahan besar dari segi teknik panahan.

"Teknik baru ini membuatkan kami perlu menyesuaikan diri dengan cepat dan disebabkan itulah banyak kejohanan kami sertai. Secara keseluruhan tidak terlalu gembira sangat, sebab kami sendiri dapat merasai banyak lagi perkara perlu dilakukan," katanya.

Trio compound negara itu berjaya meraih emas selepas menumpaskan skuad India dalam perlawanan akhir dengan kemenangan tipis 226-225. Acara memanah tidak dipertandingkan di Sukan Sea Kemboja yang berlangsung dari 5 hingga 17 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 6:43 PM