TRIO compound lelaki (dari kiri), Kin Lip, Alang Ariff dan Juwaidi menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi. Foto REUTERS
TRIO compound lelaki (dari kiri), Kin Lip, Alang Ariff dan Juwaidi menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi. Foto REUTERS
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


TRIO compound lelaki menyelamatkan maruah skuad memanah apabila mereka memastikan tidak pulang dengan tangan kosong dari Sukan Asia 2018.

Gandingan Mohd Juwaidi Mazuki, Lee Kin Lip dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli meraih gangsa acara berpasukan apabila menafikan cabaran sengit Taiwan dengan kemenangan 225-223, hari ini.

"Kami sudah buktikan mampu meraih pingat, jadi saya berharap perhatian akan lebih diberikan pada masa depan," kata Kin Lip.

Jelasnya, terpulang kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyenaraikan mereka dalam Program Podium atau sebaliknya.

Barisan pemanah compound negara hanya menyertai dua kejohanan antarabangsa bagi menghadapi Sukan Asia dan pemanah dari Sabah itu tidak menolak pencapaian mereka mungkin lebih baik sekiranya diberikan lebih banyak pendedahan.

Pandangannya turut disokong pemanah berpengalaman negara, Juwaidi.

"Jika lebih banyak kejohanan, kita akan lebih bersedia dan dapat menganalisa pencabar lain. Namun kalau sebaliknya, kita hanya boleh berlatih dan berusaha dengan keras saja.

"Malah saya percaya sukan ini akan lebih cerah sekiranya mempunyai jurulatih tetap serta program lebih teratur," jelas Juwaidi.

Gangsa itu pingat pertama skuad compound negara kendalian jurulatih Adnan Ahmad selepas kali pertama dipertandingkan empat tahun lalu dan tidak diletakkan sasaran pingat di Indonesia.

Sebaliknya trio recurve lelaki yang berada dalam Program Podium diletakkan sasaran mengulangi pencapaian podium empat tahun lalu tersingkir seawal pusingan pertama kepada pasukan kerdil, Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 4:34 PM