FATIN (kanan)  dan Juwaidi harap ada atlet memanah akan diserapkan ke dalam Program Podium. -Foto YAZIT RAZALI
FATIN (kanan) dan Juwaidi harap ada atlet memanah akan diserapkan ke dalam Program Podium. -Foto YAZIT RAZALI
Mohd Khairie Khalid dan Azlan Muhammad Zain


PENCAPAIAN tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa memanah compound di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) membuktikan sukan ini tidak pernah mengecewakan di pentas antarabangsa.

Justeru dua tonggak utama negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Juwaidi Mazuki berharap pencapaian yang dilakar dapat membolehkan atlet compound diserapkan ke Program Podium, program elit sukan negara.

“Saya harap dengan pencapaian di Sukan SEA kali ini, ada pemanah compound diserapkan ke dalam Program Podium kerana semua sedia maklum akan kelebihan dimiliki Program Podium dari segi kejohanan, perlawanan dan sumbangannya.

“Ia satu perkara yang positif jadi kami berharap ia dapat direalisasikan,” kata Juwaidi ketika ditemui sejurus memenangi pingat emas acara compound berpasukan campuran bersama Fatin di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Harapan sama turut disuarakan pemanah dari Sabah, Fatin yang turut sependapat dengan Juwaidi kerana baginya dengan lebih banyak kejohanan dalam Program Podium mampu meningkatkan prestasi atlet.

Buat masa ini seramai 117 atlet berada dalam Program Podium dengan empat daripadanya atlet memanah recurve iaitu Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Ikram Joni dan Muhammad Akmal Nor Hasrin.

Dalam perkembangan sama Juwaidi dan Fatin menyifatkan mereka tidak kecewa meskipun masing-masing terlepas pingat emas dalam acara individu ketika saingan hari pertama sukan memanah di KL2017.

“Bagi saya kekesalan terlepas pingat emas acara individu itu tidak ada kerana tidak diletakkan harapan tapi saya berjaya bangkit dan tebus dalam acara berpasukan lelaki dan campuran,” kata Juwaidi ketika mengulas mengenai pencapaian secara keseluruhan.

Sementara itu Fatin yang berlepas ke Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2017 di Taipei, Taiwan petang ini berharap kejayaan di KL2017 mampu membangkitkan semangat juangnya.

Malaysia hari ini memenangi emas dalam sukan memanah, kali ini disumbangkan pasangan compound berpasukan campuran negara, Fatin-Juwaidi selepas mengatasi pasangan Myanmar, Aung Ngeain-Ye Min Swe 152-142 pada aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 3:04 PM