GIMNAS negara bergambar sebelum menjalani latihan di Belarus, awal bulan ini. FOTO FB PERSEKUTUAN GIMNASTIK MALAYSIA
GIMNAS negara bergambar sebelum menjalani latihan di Belarus, awal bulan ini. FOTO FB PERSEKUTUAN GIMNASTIK MALAYSIA
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Persiapan tiga atlet gimrama negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022, tidak terjejas dengan isu sekatan kemasukan dua jurulatih dari Rusia.

Pengurus pasukan gimrama negara, Corine Beh Yeat Chen berkata, perkara itu sudah dibincangkan secara bersama antara mereka dan atlet sebaik saja isu itu berbangkit sebelum ini ketika membuat persiapan latihan di Mink, Belarus.

Katanya, tiga atlet terbabit iaitu Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan secara keseluruhannya sudah bersedia dari segi mental untuk berdepan isu itu apabila bertanding nanti.

"Kami sudah bersedia jika dua jurulatih berkenaan tidak dapat bersama nanti. Tetapi kami tetap berharap mereka akan dibenarkan masuk oleh kerajaan UK (United Kingdom).

"Sebenarnya, setiap malam kami ada berbincang mengenai persiapan pasukan termasuk mengenai isu babit dua jurulatih berkenaan ketika berlatih di Belarus.

"Dari segi mental, atlet kami sudah sedia berdepan pertandingan tanpa jurulatih. Namun kami tetap berharap, mereka (dua jurulatih) akan bersama kami nanti di Birmingham," katanya ketika dihubungi di Belarus, hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan kontinjen negara yang menyertai temasya Birmingham 2022 turut terkena tempias isu sekatan kemasukan warga Rusia ke UK.

Ia selepas dua jurulatih gimrama negara yang juga warga Rusia kini berdepan isu kelulusan visa tertangguh susulan sekatan kemasukan dilaksanakan kerajaan negara berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengurusan kontinjen negara sudah memenuhi semua proses keperluan pendaftaran seperti ditetapkan penganjur.

Malah, katanya, mereka sudah mengemukakan surat rayuan kepada Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi membantu mempercepatkan kelulusan visa berkenaan.

Sekiranya rayuan pengurusan kontinjen negara untuk mendapatkan visa bagi kedua-dua jurulatih itu tidak berjaya, dua jurulatih tempatan Afrita Nasril dan Lim Wen Chean akan diterbangkan bagi menggantikan mereka.

Kedua-dua jurulatih berkenaan sudah didaftarkan ke dalam sistem kad akreditasi dan akan diarahkan menguruskan pasukan gimrama negara sepanjang temasya berlangsung.

Mengenai persiapan tiga atlet negara di Belarus, Corine berkata ia satu pengalaman sangat berharga kerana memberi peluang negara bersaing dengan atlet terbaik dunia.

"Mereka menyertai pertandingan di sini, bersaing dengan atlet bertaraf dunia - sesuatu yang sangat kami nantikan bagi membantu meningkatkan prestasi mereka.

"Ya, selepas pertandingan itu, atlet kami dapat melakukan banyak peningkatan dan berupaya memperbaiki mana-mana yang kurang sebelum ke Birmingham. Kami cukup gembira," katanya.

Pada edisi 2018 di Gold Coast, Sie Yan membawa pulang tiga perak dan satu gangsa menjadikan dia antara prospek utama untuk menyumbang emas pada temasya Birmingham 2022.

Gimnas berasal dari Pahang itu turut mendapat tonik terbaik selepas berjaya memenangi emas di Sukan Sea Hanoi, Mei lalu dalam acara individual all-around.

Selain Sie Yan, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) turut meletakkan sandaran kepada Izzah dan Joe En dalam aparatus individu, individual all around dan berpasukan di Birmingham 2022.

Pasukan gimrama negara dijadual tiba di sini, esok dan bakal memulakan cabaran di Arena Birmingham pada 4 hingga 6 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 2:54 PM