MCILROY dan Hovland pada pusingan ketiga Terbuka British. -FOTO Reuters
MCILROY dan Hovland pada pusingan ketiga Terbuka British. -FOTO Reuters
AFP

St Andrews, United Kingdom: Rory McIlroy dan Viktor Hovland kelihatan bersedia beraksi pada pusingan akhir bagi menentukan siapa yang akan meninggalkan St Andrews dengan Claret Jug selepas kedua-duanya menamatkan pusingan ketiga Terbuka British dalam kedudukan seri dan mendahului dengan 16 bawah par.

Kedua-dua pemain itu turun bersama pada pusingan ketiga, dengan masing-masing mencatat pusingan 66 untuk mendahului empat pukulan di depan pesaing terdekat, Cameron Young dari Amerika Syarikat dan Cameron Smith dari Australia.

McIlroy memulakan cabaran sebagai pilihan untuk menjuarai kejohanan dan dia menepati jangkaan setakat ini dengan mencatat pusingan 66, 68 dan 66.

Ia adalah catatan sama dengan tiga pusingan pertamanya di Hoylake pada tahun 2014, sebelum dia memenangi gelaran Terbuka British tunggalnya.

Bezanya, ketika itu dia mendahului dengan enam pukulan menuju ke hari terakhir, manakala kali ini Hovland menemaninya di puncak.

"Saya cuma perlu kekal dengan perancangan saya. Hanya itu yang saya lakukan, saya melakukannya dengan baik sepanjang tiga hari lalu.

"Ia meletakkan saya di kedudukan ini. Saya hanya perlu melakukannya sehari lagi," kata McIlroy.

Kemuncak permainan McIlroy pada pusingan ketiga semalam ialah ketika dia melakukan eagle dengan pukulan chip dari dalam bunker di lubang ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 8:21 AM