ERVIN meraikan kejayaan meraih emas. FOTO Agensi
ERVIN meraikan kejayaan meraih emas. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Emas yang diraih atlet golf negara, Ervin Chang semalam di Sukan Sea Vietnam dianggap penting bagi menarik minat dan melahirkan ramai lagi pemain muda menceburi sukan berkenaan.

Semalam Ervin berjaya menamatkan kemarau 21 tahun negara apabila meraih emas individu lelaki di Padang Golf dan Resort Heron di Hanoi selepas mengumpul keseluruhan tujuh bawah par 209.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Golf Malaysia (MGA), Datuk Zulkifli Ismail, kejayaan itu sedikit sebanyak dapat memberi semangat kepada pemain-pemain golf muda negara untuk menempah nama di temasya sukan dwitahuan berkenaan.

"Walaupun Ervin turun selaku atlet kategori B namun dia membuktikan

pengalamannya beraksi di pentas antarabangsa membuahkan hasil untuk menyumbang pingat emas buat Malaysia.

"Kejayaan ini penting untuk membantu menarik minat pemain-pemain baharu dalam sukan golf dan sekali gus dapat meningkatkan semangat pemain-pemain muda yang berada di Malaysia.

"Saya gembira kerana pada saingan di Vietnam kita menghantar atlet muda sebagai pendedahan dan saya benar-benar teruja apabila Ervin mempamerkan aksi cukup tenang untuk muncul juara di sini.

"Tetapi perkara paling penting ialah atlet muda seperti ini perlukan pendedahan di antarabangsa dalam membantu mendapatkan permainan cukup matang. Apapun, kita berharap kejayaan Ervin ini kita mampu melakukan persiapan cukup rapi menjelang temasya Sukan Sea Kemboja

2023 nanti," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli turut tidak menolak sebarang kemungkinan apabila Ervin akan beralih ke profesional selepas meraih kemenangan di bumi Hanoi.

Pada saingan itu, Ervin melakukan penamat sempurna untuk membutirkan emas apabila tampil cemerlang dalam pertarungan playoff tiga lubang menentang pemain Indonesia, Amadeus Christian Susanto.

Dia muncul atlet Malaysia pertama menjadi juara selepas kuartet lelaki, Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin meraih emas berpasukan lelaki di Sukan Sea Kuala Lumpur 2001.

Aksi individu wanita juga memberikan khabar gembira apabila Jeneath Wong meraih gangsa.

Jeneath mencatatkan 69 pukulan untuk menutup aksi tiga hari dengan keseluruhan par 211, ketinggalan sembilan pukulan di belakang pemenang, Natthakritta Vongtaveelap dari Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 4:52 PM