GANDINGAN pemain golf negara yang menamatkan kemarau pingat emas selama 21 tahun bagi acara berpasukan lelaki di Sukan Sea Hanoi, hari ini.
GANDINGAN pemain golf negara yang menamatkan kemarau pingat emas selama 21 tahun bagi acara berpasukan lelaki di Sukan Sea Hanoi, hari ini.
Wartawan NSTP

Kuala Lumpur: Penantian 21 tahun negara untuk merangkul semula pingat emas dalam acara golf berpasukan lelaki berakhir apabila mengalahkan Thailand 2-1 pada aksi final di Sukan Sea Hanoi, hari ini.

Walaupun Thailand diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi acara berkenaan, pasukan golf lelaki negara tidak goyah dan mempamerkan aksi mantap untuk memastikan pingat emas milik Malaysia.

Pada aksi di padang golf Heron Lake Golf Course dan Resort, Vinh Phuc, Hanoi itu, K Rhaasrikanesh muncul wira apabila cemerlang memasukkan bola dari luar green di lubang ke-17 untuk memastikan kemenangan dua lubang berbanding Pongsapak Laopakdee.

Terdahulu, Ervin Chang beraksi cemerlang apabila meletakkan Malaysia di hadapan dengan dua dan satu ke atas Weerawish Narkprachar sebelum Thailand menyamakan kedudukan menerusi Ratchanon Chantananuwat yang mengetepikan Marcus Lim dengan satu lubang.

Berdasarkan rekod, kejayaan empat pemain golf negara itu termasuk A Nateeshvar sebagai pemain simpanan adalah kali ketiga negara berjaya merangkul emas dalam acara berkenaan, sekali gus mengikut jejak langkah pemenang 1989 membabitkan mendiang P Gunasegaran, Johari Sulaiman, Saad Yusuf dan Wong Hung Nung.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas menerusi gandingan Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin pada 2001.

Selain itu, kejayaan terbabit lebih manis buat Ervin yang membuat debut terakhir di Sukan Sea Hanoi serta pemain Malaysia pertama membawa pulang dua pingat emas membabitkan acara berpasukan lelaki dan individu.

Pasukan wanita diwakili Jeneath Wong dan Mirabel Ting turut membawa pulang pingat perak untuk negara.

Gandingan dua pemain golf wanita negara itu tewas kepada Thailand 1.5-0.5 selepas Jeneath tewas dengan satu lubang kepada Eila Galitsky manakala Mirable mensia-siakan kelebihan tiga lubang sebelum tunduk kepada dengan Natthakritta Vongtaveelap.

Pencapaian memenangi dua emas dan masing-masing satu perak serta gangsa adalah pencapaian terbaik pasukan golf negara pada temasya dwitahunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 3:51 PM