BARISAN pemain NS Antlers yang akan menggalas cabaran pada STL. FOTO Mohd Amin Jalil.
BARISAN pemain NS Antlers yang akan menggalas cabaran pada STL. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas sekadar menamatkan saingan di tempat keempat pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) sebelum ini, Negeri Sembilan (NS) Antlers tekad bangkit untuk melakar pencapaian lebih baik pada saingan STL 2021/2022, yang berlangsung Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, bermula esok.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah, berkata pihaknya menyasarkan tempat ketiga pada edisi kali ini.

Katanya, sasaran itu diyakini boleh dicapai berlandaskan barisan pemain yang ditampilkan pada kali ini membabitkan pemain berpengalaman dan bekas pemain kebangsaan.

"Kali ini kita membariskan hampir semua pemain berpengalaman termasuk bekas pemain kebangsaan.

"Kehadiran semula Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar yang juga striker kebangsaan dapat menambah lagi kekuatan Negeri Sembilan Antlers.

"Malah, kita juga turut menyenaraikan pemain Sukan Malaysia (Sukma), Muhammad Zul Aqil Ikram Muhammad, yang diyakini dapat memberikan impak positif kepada kekuatan pasukan," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran pengenalan pasukan Negeri Sembilan Antlers STL 2021/2022 dan pelancaran Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2022 di Klana Resort di sini, petang ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

Wan Mohd Husni mengakui saingan kali ini lebih sengit dan mencabar serta sukar dijangka selepas tahun lalu tiada kejohanan dilangsungkan berikutan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurutnya, Negeri Sembilan Antlers sudah buat persiapan terbaik dan semua pemain sudah bersedia untuk menggalas cabaran dan berdepan mana-mana pasukan.

"Melalui kombinasi barisan pemain yang ditampilkan, sememangnya kita yakin pasukan mampu lebih menyerlah pada saingan kali ini.

"Negeri Sembilan Antlers akan memulakan cabaran menentang Penang Black Panthers pada petang Sabtu.

"Dari segi rekod, memang memihak kepada lawan, namun kali ini kita mahu memadamkan badi itu pada aksi pembukaan nanti.

"Kita yakin boleh mengatasi Penang Black Panters kerana kemenangan ke atas pasukan itu penting bagi menyuntik semangat pemain menjelang cabaran seterusnya," katanya.

Sementara itu, kapten pasukan, Mohd Syareen Qamar Salehan, berkata walaupun kali ini tidak menggunakan pemain import, namun pemain sedia ada mampu menggalas cabaran.

"Kita sudah bentuk persefahaman yang mantap dan yakin akan dapat beraksi dengan baik dan seterusnya mampu menjulang nama pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 7:14 PM