PANDELELA kan turun beraksi dalam acara 10m seirama. FOTO Reuters
PANDELELA kan turun beraksi dalam acara 10m seirama. FOTO Reuters
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Renang Malaysia (MS) memilih untuk menghantar skuad campuran pada temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam dari 12 hingga 23 Mei ini.

Datuk Pandelela Rinong akan mengetuai cabaran skuad negara bersama-sama Nur Dhabitah Sabri, Kimberly Bong di samping dua muka baru dalam acara lelaki.

Setiausaha Agung MS, Mae Chan berkata, Pandelela akan turun beraksi dalam acara 10 meter (m) seirama namun belum memutuskan siapakah gandingannya.

"Ketika ini kita mempunyai tiga atlet wanita yang akan beraksi di Sukan Sea.

"Selain itu MS juga mempertaruhkan dua penerjun muka baru Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney dalam acara 10m seirama," katanya.

Terdahulu nama Dhabitah dan Kimberly dikaitkan untuk menjadi pasangan Pandelela bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas penerjun Leong Mun Yee yang bersara pada Disember lalu selepas lebih 27 tahun menabur bakti.

Pandelela dan Dhabitah bukannya asing dalam acara 10m seirama apabila mereka pernah digandingkan bersama ketika meraih gangsa di Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia Fina 2017 di Kanada.

Ditanya apakah sasaran MS pada temasya kali ini, Mae berkata, MS belum meletakkan sasaran secara khusus dalam acara terjun namun memberi jaminan bahawa atlet akan memberikan yang terbaik.

Pada temasya di Filipina skuad terjun negara meraih empat emas dan dua perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 10:36 PM