Penerjun negara, Pandelela Rinong. FOTO File NSTP
Penerjun negara, Pandelela Rinong. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejohanan Piala Dunia Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (Fina) 2021 di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun pada 18 hingga 23 April ini akan berlangsung mengikut jadual.

Ini bermakna peluang untuk lebih ramai skuad terjun negara melayakkan diri ke temasya Olimpik lebih cerah kerana syarat kelayakan yang lebih mudah terutama membabitkan acara perseorangan.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Mae Chen ketika ditemui memaklumkan perkara itu dengan Malaysia akan menghantar barisan terkuat dan cuba untuk melayakkan diri dalam seberapa banyak acara yang boleh.

Mae berkata, beliau gembira dengan perkhabaran itu dan kini semua atlet negara perlu memberi fokus kepada persiapan masing-masing untuk penyertaan ke Tokyo itu nanti.

"Kita akan menghantar skuad terkuat yang mana Pandelela (Rinong), (Leong) Mun Yee akan fokus kepada acara 10m seirama, Wendy (Ng) dan Nur Dhabitah (Sabri) akan cuba untuk melayakkan diri dalam acara 3m seirama.

"(Cheong) Jun Hoong juga akan mencuba nasib dalam acara 10m individu. Kami akan menghantar barisan terbaik dan akan menyertai ke semua acara yang dipertandingkan," katanya.

Kejohanan Piala Dunia ini adalah peluang terakhir buat atlet dunia melayakkan diri ke temasya Olimpik yang mana bagi acara individu 10m platform dan 3m papan anjal 18 atlet terbaik akan layak manakala dalam acara seirama empat terbaik akan mengesahkan tempat ke Olimpik.

Bagi negara yang sudah mengesahkan tempat ke temasya terbesar itu, tempat berkenaan akan diambil alih oleh negara yang menduduki tempat kelima dan seterusnya.

Untuk rekod hingga setakat ini empat penerjun wanita negara sudah mengesahkan tempat yang mana Pandelela melayakkan diri dalam acara 10m platform individu dan seirama bersama Mun Yee manakala Dhabitah bersama Wendy (3m seirama).

Piala Dunia turut memberi peluang kepada atlet lelaki berpengalaman negara seperti Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei untuk mengesahkan tempat dalam acara masing-masing.

Pada temasya empat tahun lalu di Rio skuad terjun negara memberi impak membanggakan dengan kejayaan Jun Hoong dan Pandelela menyumbangkan perak dalam acara 10m seirama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 4:47 PM