PELAYAR dalam Program Belia Belayar merakam kenangan dalam program Hari Berlayar Bersama Media di Marina Pulau Indah.
PELAYAR dalam Program Belia Belayar merakam kenangan dalam program Hari Berlayar Bersama Media di Marina Pulau Indah.
Oleh Zaitie Satibi


Perahu layar adalah antara acara sukan air yang menyumbang pingat kepada negara di peringkat antarabangsa khususnya pada Sukan SEA dan Sukan Asia, malah atlet pelayaran juga pernah melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Bagi melahirkan lebih ramai atlet untuk mengharumkan negara di peringkat antarabangsa dalam acara sukan berkenaan Majlis Sukan Negara (MSN) melancarkan Program Pembangunan Sukan Pelayaran yang lebih komprehensif dengan memperkenalkan Liga Layar Malaysia (LLM) dan Program Belia Belayar pada 2013.

Program itu adalah satu inisiatif seiring penganjuran Kejohanan Piala Monsun bertujuan menyediakan platform kepada mereka yang berminat menceburi sukan itu dan belajar serta mengembangkan bakat ke tahap yang lebih tinggi.

LLM dianjurkan secara liga pusingan di setiap negeri dan pelayar yang mengumpul mata tertinggi akan mewakili negara ke Piala Monsun, manakala Belia Belayar pula dianjurkan bersempena LLM bertujuan memupuk minat dan memberi pendedahan awal kepada anak muda tempatan untuk menceburi sukan berkenaan.

Atlet perahu layar, Megat Ahmad Aslam Megat Azman, 22, berkata sukan perahu layar dimainkan dengan bergantung kepada bantuan angin untuk menggerakkan perahu dan perlumbaan dilakukan secara ‘match race’ iaitu perlumbaan dua kapal layar yang sama dan litarnya adalah menuju penanda aras atas iaitu menentang arah angin dan menuju penanda aras bawah iaitu mengikut arah angin sebanyak dua pusingan litar

Perlumbaan berlangsung selama 20 hingga 25 minit dan setiap pusingan mengambil masa lima minit. Persaingan sangat sengit dan pengendalian kapal yang amat sukar membuatkan perlumbaan ini menarik.

Menurutnya, setiap kapal layar dikendalikan satu pasukan terdiri pemain yang masing-masing mempunyai fungsi yang berbeza di atas perahu untuk menentukan arah tuju perahu bergerak dengan mengubah kedudukan layar yang terdapat pada kapal.

“Ketua kapal atau pe­ngemudi dikenali skipper adalah ketua pasukan atau kapten bagi sebuah perahu layar dan tugas mereka bukan saja mengemudi bot tetapi turut membabitkan keputusan mengenai taktik dan strategi yang akan digunakan dalam perlumbaan.

“Pemain mainsheet trimmer pula berperanan mengawal layar paling besar di atas kapal kerana kelajuan kapal tertumpu di situ. Pemain ini berganding rapat dengan ketua pasukan untuk memastikan kelajuan maksimum kapal layar,” katanya dalam taklimat Hari Berlayar Bersama Media di Marina Pulau Indah, Klang, baru-baru ini.

Katanya, pemain trimmer pula bertugas mengawal kepala atau depan kapal layar dan pada pusingan melawan arah angin trimmer akan bekerjasama dengan pitman yang mengawal layar besar yang terletak berlawanan dengan layar utama.

“Bowman pula bertanggungjawab mengubah layar di hadapan bot, malah pemain ini juga adalah ‘mata hadapan’. Oleh itu, bowman mestilah seorang yang mempunyai kebolehan bergerak dengan tangkas dan cepat di bahagian depan bot.

“Pitman pula membantu trimmer mengawal kapal layar dan layar besar serta mengawal kebanyakan tali yang akan menentukan arah layar,” katanya yang menceburi sukan layar sejak berusia 12 tahun.

Megat Ahmad Aslam yang sudah menyertai lebih 30 kejohanan perahu layar tempatan dan antarabangsa kini bermain untuk pasukan University of Western Australia (UWA) sebagai ‘gib trimmer’. Beliau turut membantu melatih pelayar muda dalam program Belia Belayar.

Rakan atlet beliau, Anwar Kamarul Bahrin, 20, pula sudah menyertai lebih 40 kejohanan perahu layar termasuk mewakili negeri dalam Sukan Malaysia (SUKMA) sejak bergiat aktif dalam sukan itu kira-kira 10 tahun lalu.

“Saya bermain perahu layar Laser perseorangan lelaki, manakala berkumpulan pula dalam posisi bowman. Jika tiada kejohanan akan menjadi pembantu jurulatih dalam program Belia Belayar.

“Selain itu, saya turut membantu MSN mempromosikan sukan ini dalam kalangan pelayar muda di kelab yang bergerak aktif dalam pembangunan sukan perahu layar,” katanya.

Sementara itu, pelayar sambilan, Norzuhaira Ruhanie, 38, menyertai sukan perahu layar ketika berusia 13 tahun, namun melanjut pelajaran di Jepun selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya aktif semula sejak lima tahun lalu selepas menyertai Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM). Saya juga adalah pelayar wanita pertama yang mewakili PSSTLDM dalam kejohanan tempatan.

“Antara kejohanan disertai seperti Raja Muda Selangor International Regatta dan Royal Langkawi International Regatta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:00 AM