Aksi Muhammad Hakimi Ismail ketika menyertai kejohanan.
Aksi Muhammad Hakimi Ismail ketika menyertai kejohanan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail mengakui belum pasti dapat membuat penampilan pada Sukan Sea Hanoi, Mei ini kerana masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan tumit kaki kirinya, Oktober tahun lalu.

Situasi itu sekali gus menyaksikan peluangnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali keempat berturut-turut pada temasya dwi tahunan bermula 12 hingga 23 Mei depan juga agak samar.

Hakimi mendominasi acara itu bermula pada edisi 2015 di Singapura, 2017 di Kuala Lumpur dan tiga tahun lalu di Manila, Filipina.

"Untuk Sukan Sea masih belum 100 peratus pasti saya boleh beraksi. Tapi saya akan pastikan dapat beraksi di Sukan Asia dan Komanwel.

"Jika layak, saya akan beraksi di Sukan Komanwel buat kali kedua dan Sukan Asia kali ketiga," katanya.

Sukan Komanwel akan berlangsung di Birmingham, England bermula 28 Julai sehingga 8 Ogos manakala Sukan Asia di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September.

Jelas Hakimi, dia sudah menjalani latihan tetapi tidak 100 peratus kerana masih merasai kesakitan.

"Memang nampak ada perkembangan yang positif tapi saya masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya," katanya.

Atlet berusia 30 tahun itu adalah pemegang rekod kebangsaan dalam acara itu dengan catatan 16.77 meter yang dilakukannya pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 7:57 PM