MUHAMMAD HAKIMI ISMAIL
MUHAMMAD HAKIMI ISMAIL
Jumiati Rosly

PENINGKATAN prestasi ketara yang ditunjukkan Muhammad Hakimi Ismail menjadi elemen penting di sebalik pemilihan jaguh lompat kijang negara itu sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemilihan Hakimi itu dibuat berdasarkan persetujuan semua pihak termasuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Program Podium yang dikendalikan Institut Sukan Negara (ISN).

“Dia mempamerkan peningkatan selepas mengalami kecederaan dan itu menunjukkan bagaimana keperibadian yang kita mahukan. Kembali daripada kecederaan dan seterusnya melayakkan diri ke Sukan Komanwel.

“Kita tak mahu hanya memilih atlet yang ada jenama dan popular tetapi mereka yang ada peningkatan ketara juga perlu diberi pengiktirafan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di sini hari ini.

Hakimi, 27, mengalami kecederaan buku lali kiri pada tahun 2016 hingga menyebabkan tidak dapat beraksi di tahap sebenar selama sembilan bulan sebelum bangkit membuktikan kemampuannya untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Kejayaannya itu tambah manis apabila turut membaharui rekod temasya yang juga miliknya dengan jarak 16.77 meter.

Bukan itu sahaja, Hakimi yang tersenarai dalam Program Podium itu juga memecah rekod kebangsaan sebanyak tiga kali berturut-turut pada Sukan SEA - Myanmar 2013 dengan melakukan 16.44m, Singapura 2015 (16.76m) dan KL2017 (16.77m).

“Saya rasa gembira dan ini satu penghargaan tinggi terutama buat sukan olahraga.

“Sebelum ini saya tahu nama saya dicalonkan namun hari ini baru dapat pengesahan yang saya diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang,” kata Hakimi yang pertama kali diberi penghormatan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas berharap pengiktirafan yang diberikan kepada Hakimi akan memberi semangat kepada pasukan olahraga yang disifatkannya sebagai skuad yang masih muda.

“Sudah terlalu lama atlet olahraga tidak mendapat pengiktirafan sebagai pembawa Jalur Gemilang dan saya rasa kepercayaan yang diberi kepada Hakimi akan menyuntik semangat beliau untuk beraksi lebih baik sekali gus meraih podium,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 7:54 PM