RAIS Yasin (kiri) dan Presiden Ragbi Melaka Datuk Hameed MK Basheer ketika hadir pada perasmian Akademi Ragbi Melaka (Akram) di Ayer Keroh, semalam. FOTO Bernama
RAIS Yasin (kiri) dan Presiden Ragbi Melaka Datuk Hameed MK Basheer ketika hadir pada perasmian Akademi Ragbi Melaka (Akram) di Ayer Keroh, semalam. FOTO Bernama
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Lebih ramai pemain ragbi berbakat mahu direalisasikan menerusi Akademi Ragbi Melaka (AKRAM) dalam memastikan negara tidak ketandusan pelapis skuad senior pada masa depan.

Fokus itu ditegaskan Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin ketika majlis pelancaran rasmi AKRAM yang diwujudkan sejak dua tahun lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, dekat sini, semalam.

Penubuhan AKRAM katanya, bukti kesungguhan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menerusi Unit Pembangunan Bakat Murid, Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) dan Persatuan Ragbi Melaka (MRA) dalam menyemarakkan sukan itu di negeri ini dari bawah.

"Dengan adanya AKRAM ini kita boleh melahirkan lebih ramai pemain ragbi supaya ada kesinambungan di peringkat senior nanti.

"Kita lihat sukan ragbi ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Di Kampung saya iaitu di Sekolah Kebangsaan Paya Rumput, mereka sudah ada pemain ragbi yang mempunyai kelab sendiri iaitu D'Rhinos dan bermain sehingga di peringkat antarabangsa.

"Mereka ini di peringkat sekolah rendah tapi bermain di peringkat antarabangsa misalnya di Jakarta, Indonesia," katanya dalam ucapan perasmian AKRAM disebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang juga Presiden Ragbi Melaka dan Pengurus Besar Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP), Khairul Anuar Azmi.

Rais yang juga Timbalan Presiden Melaka Rugby berkata, beliau yakin pemilihan Sekolah Menengah Telok Mas sebagai pusat ragbi dibuat selepas segala prosedur dan penilaian teliti.

"Jadi saya harap murid-murid yang dipilih ini dipantau agar tidak terbabit perkara tidak diingini memandangkan ada yang tinggal di asrama dan berulang dari rumah ke akademi.

"Saya selaku Exco juga memberi komitmen penuh dan jika anak-anak ini perlu apa-apa bantuan, pihak sekolah atau ibu bapa hanya perlu maklumkan pada saya.

"Tapi saya minta, Unit Pembangunan Bakat Murid ini beri perhatian juga kepada sukan lain," katanya yang turut menyumbang RM5,000 untuk AKRAM.

Rais berkata, beliau bersama Hameed Mytheen dan Jawatankuasa Ragbi Melaka turut mengadakan kunjung hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Mohd Ali malam kelmarin bagi memaklumkan kemajuan sukan ragbi di Melaka dan mendapat maklum balas positif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 11:15 AM