Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seramai 13,134 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di negeri ini selamat menduduki peperiksaan bertulis di 109 pusat peperiksaan bermula hari ini.

Ia sekali gus menyaksikan tiada pelajar berdaftar tercicir menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1, Pendidikan Seni Visual-Teori Seni dan Bahasa Melaka Kertas 2.

Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, daripada jumlah itu seramai 11,352 calon atau 86.4 peratus adalah dari sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Katanya, selain itu 711 orang adalah calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah agama negeri (28), calon sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (181) dan calon persendirian seramai 862 orang.

"Daripada jumlah itu 72 orang adalah calon berkeperluan khas yang mengalami cacat fizikal yang menduduki peperiksaan SPM 2021.

"Setakat ini semua calon SPM di asrama dan sekolah kesemuanya dapat menduduki peperiksaan hari ini kerana tiada lagi yang positif Covid-19 atau dikuarantin," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Lembaga Peperiksaan KPM yang juga Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad dan Pengetua SMK Bukit Katil Zaiha Ahmad.

Rais berkata, setakat ini, semua pusat peperiksaan SPM di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan di seluruh negeri beroperasi seperti biasa tanpa ada penutupan premis oleh Jabatan Kesihatan negeri atau Pusat Kesihatan daerah.

DATUK Rais Yasin berbual dengan calon SPM yang menyerahkan borang deklarasi kesihatan sebelum menduduki peperiksaan di SMK Bukit Katil hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
DATUK Rais Yasin berbual dengan calon SPM yang menyerahkan borang deklarasi kesihatan sebelum menduduki peperiksaan di SMK Bukit Katil hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 12:25 PM