RAIS (duduk tengah) pada sidang media selepas Majlis  Perasmian Akademi Ragbi Melaka di Ayer Keroh, hari ini. FOTO MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
RAIS (duduk tengah) pada sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Ragbi Melaka di Ayer Keroh, hari ini. FOTO MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seramai 116 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Melaka tidak dapat menduduki peperiksaan itu bermula semalam, selepas disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin.

Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, beliau bersimpati dengan nasib pelajar terbabit yang dijangka menduduki peperiksaan itu pada April depan.

Beliau berkata, semua pelajar terbabit tidak dapat menduduki ujian lisan, mendengar dan bertutur Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Amali Sains (Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan) yang bermula 8 hingga 24 Februari ini.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang, mereka akan ambil ujian lisan SPM pada April nanti," katanya sambil memaklumkan jumlah calon SPM 2021 di Melaka seramai 13,134 orang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Ragbi Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, hari ini.

Akademi Ragbi yang pertama di Melaka itu diwujudkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, dekat sini dan beroperasi sejak dua tahun lalu dengan 40 pelatih.

Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan sekolah di negeri ini akan ditutup kerana peningkatan kes positif dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah, Rais berkata, kes Covid-19 adalah terkawal.

Katanya, berdasarkan data terkini kluster pendidikan hanya berbaki 50 murid masih positif Covid 19 manakala 206 orang lagi masih dikuarantin.

"Jumlah murid sudah sembuh pula seramai 179 orang manakala murid dipotong gelang seramai 690 orang.

"Keputusan menutup sekolah ini bukan di bawah kuasa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), sebaliknya penilaian dibuat secara berperingkat bermula daripada Pejabat Kesihatan Daerah hingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum perbincangan dengan JPN.

"Alhamdulillah, tiada sekolah ditutup, cuma pelajar asrama yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina kekal di rumah dan mengikuti PdPR (Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah). Maknanya sekolah beroperasi," katanya.

Kepada soalan mengenai dakwaan penguat kuasa kesihatan dihalang mengadakan pemeriksaan pematuhan SOP di sekolah, beliau memberi jaminan JPN sentiasa memberi kerjasama penuh.

"Jika perlu diadakan pemeriksaan di sekolah, permohonan itu mestilah daripada pihak berwajib dan saya jamin JPN akan beri kerjasama.

"Alhamdulillah setakat ini saya tidak menerima sebarang aduan penguat kuasa kesihatan dilarang masuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 8:33 PM