KHAIRUL Hafiz menjalani rawatan Islam selepas sering kali bergelut dengan kecederaan berulang terutama ketika menyertai pertandingan. FOTO NSTP
KHAIRUL Hafiz menjalani rawatan Islam selepas sering kali bergelut dengan kecederaan berulang terutama ketika menyertai pertandingan. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas beberapa kali menjalani rawatan alternatif, bekas raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan kini semakin pulih dan tidak sabar untuk kembali membakar trek.

Khairul yang menjalani rawatan Islam selepas sering kali bergelut dengan kecederaan berulang terutama ketika menyertai pertandingan kini dalam persiapan untuk menyertai Perak All-Comers yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Februari ini.

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim ketika dihubungi berkata, selain Perak All-Comers, Khairul bersama juara bertahan 100m Sukan SEA Filipina, Haiqal Hanafi akan turut menyertai Terbuka Malaysia dari 4 hingga 6 Mac ini.

"Alhamdulillah, keadaan Khairul semakin pulih. Biarpun dia mengadu ada terasa sakit tapi kakinya sudah tak macam dulu dan ada perubahan.

"Saya harap Khairul akan semakin kuat dan buktikan dia mampu untuk melawan segala cabaran yang dihadapinya," katanya.

Poad menjelaskan beberapa perancangan sudah diatur buat kedua-dua atlet berkenaan dengan mereka dijadualkan menjalani latihan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Perak dalam tempoh terdekat ini hasil kerjasama bersama fakulti kejurulatihan UPSI .

Ditanya apakah fokus utama pada penyertaan di Perak All-Comers itu, Poad berkata, kedua-dua atlet di bawah bimbingan itu perlu cuba untuk melepasi syarat kelayakan ke Sukan Sea terlebih dahulu.

Untuk layak secara merit, mereka perlu mencatatkan sekurang-kurang catatan tempat ketiga iaitu 10.52 saat.

Jika tiada sebarang masalah, Poad yakin kedua-dua mereka mampu untuk melepasi syarat berkenaan.

Kali terakhir, Khairul dan Haiqal beraksi di kejohanan alah pada Disember lalu iaitu Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2021 yang mana Haiqal menamatkan saingan di kedudukan kelima 10.80s manakala Khairul terpaksa menarik diri kerana kecederaan.

Sementara itu seramai 10 sudah melayakkan diri ke temasya di Hanoi dan mereka terdiri atlet baling tukul besi Jackie Wong; Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera); Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi); Mohd Iskandar Alwi (lompat bergalah); Mohammad Amirul Arif Mohd Azri (1,500 meter) serta Muhammad Zulfiqar Ismail dan Russel Alexander Nasir Taib (pelari pecut).

Bagi kategori wanita pula, atlet baling tukul, besi Grace Wong serta atlet lempar cakera Queenie Ting dan Choo Kang Ni juga telah melepasi had kelayakan menerusi kejohanan baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 8:27 PM