Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Buang segala perkara yang tidak perlu dan fokus kepada latihan sekiranya ingin meraih pingat di temasya Sukan Sea Vietnam tahun depan.

Itu saranan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim kepada barisan atletnya terutama kepada juara bertahan temasya Sukan Sea Filipina, Muhammad Haiqal Hanafi untuk bangkit selepas tewas di Kejohanan Kebangsaan baru-baru ini.

Tegas Poad, berbaki lima bulan sebelum temasya bermula, banyak perlu dipertingkatkan untuk mengatasi kelemahan namun Poad yakin, barisan atletnya mampu untuk bangkit kembali melakarkan kemenangan.

"Saya tak bimbang dengan prestasi atlet pecut di bawah saya. Saya yakin mereka boleh kembali mendapatkan rentak masing-masing. Cuma sekarang perlu fokus.

"Yang penting adalah fokus kerana masa yang ada pun sudah tidak lama iaitu dalam lima bulan. Sekarang ini, buang dulu perkara yang tak penting dan fokus kalau betul inginkan kejayaan," katanya.

Malah Poad berkata, beliau tidak panik dengan prestasi pelari seperti Haiqal mahupun pemegang rekod kebangsaan riben biru, Khairul Hafiz Jantan biarpun atlet kelahiran Melaka itu tidak menyertai Kejohanan Kebangsaan baru-baru ini.

Pada kejohanan itu, Haiqal yang juga turun dengan status juara Asia Tenggara, menamatkan kedudukan di tangga kelima 10.80 saat (s) dalam saingan yang dimenangi oleh atlet Terengganu, Muhammad Zulfiqar Ismail, 10.52s.

Zulfiqar turut cemerlang menewaskan juara Grand Prix Malaysia pada April lalu, Muhammad Arsyad Md Saat dari Johor untuk pingat perak (10.69s) pelari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jonathan Nyepa (10.72m) gangsa.

Poad berkata, kebangkitan pelari pecut di bawah bimbingannya mungkin akan dapat dilihat pada penyertaan mereka di Kejohanan Perak All-Comers yang dijadualkan berlangsung Februari tahun depan dan semua atlet dijangka kembali menyertai latihan intensif minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 6:03 AM