PERTARUNGAN antara Paul (kiri) dan Mayweather, Jun lalu. FOTO Agensi
PERTARUNGAN antara Paul (kiri) dan Mayweather, Jun lalu. FOTO Agensi
Agensi

London: Logan Paul melabelkan Floyd Mayweather sebagai 'musang' selepas menuduh legenda tinju itu tidak membayarnya untuk pertarungan pertunjukan mereka pada Jun lalu.

Mayweather, 44, bertarung dengan Paul, 26, pada perlawanan pertunjukan lapan pusingan di Florida dan bintang YouTube itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila dapat bertahan selama 24 minit pertarungan itu.

Pertarungan itu mendapat sambutan yang hangat dengan ada yang mendakwa ia menjana pendapatan yang cukup lumayan.

Paul dilaporkan dijamin akan memperoleh AS$250,000 (RM1.04 juta) selain hak bayaran setiap tontonan (PPV) yang menyaksikannya memperoleh kira-kira AS$5,000,000 (RM20.8 juta).

Manakala Mayweather diberi jaminan mendapat AS$10 juta (RM41.7 juta) dan 50 peratus daripada PPV sekali gus menyaksikannya memperoleh AS$25,000,000 (RM104.4 juta)

Bagaimanapun Paul menerusi Instagram miliknya mendakwa Mayweather masih belum membayar bahagiannya enam bulan selepas pertarungan di Stadium Hard Rock Miami itu.

"Bayar wang saya wahai manusia musang @floydmayweather," tulis Paul di Insta Story miliknya dengan gambar lawannya itu ketika bercuti di Rusia.

Ia adalah perlawanan pertunjukan kedua Mayweather sejak bersara pada 2017 dengan yang pertama ketika bertemu jaguh Jepun, Tenshin Nasukawa pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 11:55 AM