MAYWEATHER (kiri) akan bertemu Paul 6 Jun depan. FOTO AFP
MAYWEATHER (kiri) akan bertemu Paul 6 Jun depan. FOTO AFP
Agensi

London: Legenda tinju dunia, Floyd Mayweather sudah memulakan latihan untuk pertarungan pertunjukan bertemu Logan Paul pada 6 Jun depan.

Bintang berusia 44 tahun itu yang memenangi 15 gelaran dunia dalam lima kelas berat berbeza, akan bertemu rakan senegara Amerika Syarikat (AS) itu dalam pertembungan enam pusingan.

Kedua-dua mereka sepatutnya bertemu Februari lalu namun ia terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan penonton menyaksikan perlawanan itu.

Pertarungan antara Mayweather dengan sensasi YouTuber, Paul akan berlangsung di Stadium Hard Rock di Miami dengan hadiah kemenangan dianggarkan sebanyak £72 juta (RM407.4 juta).

Penyokong tinju di UK mungkin perlu mengeluarkan belanja sebanyak £35.99 (RM203) untuk menyaksikan perlawanan itu yang menjadi penampilan pertama Mayweather sejak beraksi pada perlawanan pertunjukan bertemu Tenshin Nasukawa pada Disember 2018.

Mayweather dijangka memperoleh kemenangan mudah sekali gus bakal mengaut wang kemenangan yang banyak.

MAYWEATHER memuat naik gambar di Instargam sedang menjalani latihan. FOTO IG Mayweather
MAYWEATHER memuat naik gambar di Instargam sedang menjalani latihan. FOTO IG Mayweather

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu kembali menjalani latihan selepas memuat naik gambarnya sedang berlatih di Instagram menjelang perlawanan itu.

Gambar itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada peminat Mayweather yang rata-ratanya mahu beliau menewaskan Paul.

"Berikan kami perlawanan yang terhebat. Ajar Paul," tulis salah seorang penyokongnya.

"Jika anda tewas, saya tidak akan lagi menyaksikan acara tinju," kata seorang lagi penyokong Mayweather.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:15 PM