KHABIB (kiri) dan Mayweather masing-masing berjaya menewaskan McGregor. FOTO Agensi
KHABIB (kiri) dan Mayweather masing-masing berjaya menewaskan McGregor. FOTO Agensi
Agensi

London: Khabib Nurmagomedov ditawarkan AS$100 juta (RM401 juta) untuk menentang Floyd Mayweather dengan disaksikan Dana White, menurut pengurusnya semalam.

Ali Abdelaziz yang bersama Khabib sepanjang karier UFCnya, gembira dengan cadangan itu dan menggesa Mayweather menyahut cabaran.

Abdelaziz berkata kepada TMZ Sports: "Dengar, kami mendapat tawaran AS$100 juta untuk menentang Floyd Mayweather.

"Dana White akan turut menyaksikannya, setiap orang pasti menonton. Tetapi seperti anda tahu Khabib ialah pejuang MMA.

"Jika Floyd mahu datang bertarung, bersedialah dengan apa sahaja, tiada masalah.''

Mayweather, 43, bersara pada 2017 selepas menewaskan bekas juara UFC, Conor McGregor.

Dia kemudiannya menentang jaguh kickboxing, Tenshin Nasukawa dalam aksi pertunjukan di Tokyo yang dimenanginya pada pusingan pertama.

Mayweather selepas itu menegaskan dia mungkin tidak dapat beraksi pada tahap terbaik dalam sukan tinju namun sedia menentang McGregor atau Nurmagomedov, kedua-duanya berusia 32 tahun.

Pada Oktober lalu, Khabib mendedahkan dia kerap ditawarkan menentang Mayweather.

Katanya kepada Yahoo! Sports: "Selalu, seperti setiap bulan ada saja orang menelefon saya dan bertanya, 'Anda perlu menentang Floyd Mayweather jika kami bayar AS$100j.

"Ia seperti tidak masuk akal. Saya mahu beri tumpuan perlawanan berdepan Justin Gaethje, jadi tolonglah.

"Setiap bulan, ada sahaja tawaran dari Arab Saudi, dari UAE, dari pelbagai negara, seperti selalu cuba hubungi saya."

Tetapi selepas membuat kejutan dengan pengumuman persaraan selepas menewaskan Gaethje, ia mungkin membuka peluang kepada jaguh Russia itu beralih kepada tinju.

Sementara itu, Mayweather dijangka menentang YouTuber, Logan Paul pada Februari depan dalam pertarungan pertunjukan yang dianggap istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 11:52 AM