PACQUIAO ketika menentang Mayweather pada 2015.
PACQUIAO ketika menentang Mayweather pada 2015.
Agensi

Los Angeles: Manny Pacquiao mengesahkan dia tetap mahukan pertarungan semula dengan Floyd Mayweather tetapi tidak berminat menentang Jake Paul.

Pacquiao begitu kecewa selepas tewas kepada musuh ketatnya, Mayweather pada 2015 yang dianggap pertarungan paling mahal dalam sejarah.

Tetapi dia mendakwa mengalami kecederaan bahu ketika itu dan mendesak pertarungan semula diadakan dan juara lapan divisyen berusia 42 tahun itu belum putus harapan untuk membalas dendam.

Ketika ditanya TMZ Sports semalam mengenai Mayweather, dia berkata: "Saya masih lagi aktif, dia pula sudah bersara, jadi saya tak tahu.''

Menjawab soalan sama ada dia sedia dengan pertarungan semula, Pacquiao berkata: "Ya."

Mayweather secara rasmi menggantung sarung tangan tinjunya pada 2017 selepas menewaskan bintang UFC dari Ireland, Conor McGregor, 33, pada pusingan ke-10 tetapi kembali ke gelanggang dua kali dengan kedua-duanya dalam aksi pertunjukan menentang jaguh kickboxing, Tenshin Nasukawa in 2018.

Pada Jun lalu, dia menentang YouTuber, Logan Paul, 26, dalam pertarungan lapan pusingan.

Mayweather gagal melakukan KO bermakna tiada pemenang diisytiharkan secara teknikal.

Pacquiao yang akan menentang Errol Spence Jr, 31, pada 21 Ogos ini membidas pertarungan Mayweather-Logan dan tidak berminat dengan cadangan menentang Jake, 24, yang mempunyai rekod 3-0, kesemuanya dengan KO.

Pacquiao berkata: "Tidak, tidak mungkin. Saya hanya mahu bertarung dengan yang terbaik demi legasi saya. Saya tidak memandang rendah Paul, dia masih kurang pengalaman bertinju.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 12:27 PM