AHMAD Faizal Azumu. -FOTO NSTP
AHMAD Faizal Azumu. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui rasuah adalah amalan yang tidak sihat dan wajar disisihkan dalam tadbir urus badan sukan kebangsaan.

Menurut beliau, salah guna kuasa dan rasuah bukan sahaja bermotifkan mendapatkan habuan kewangan, malah boleh berlaku apabila seseorang pemegang jawatan berhasrat untuk terus kekal berkuasa di dalam sesuatu badan sukan.

"Kecenderungan amalan salah guna kuasa dalam mempertahankan jawatan yang di sandang dalam badan sukan dengan menjanjikan habuan atau jawatan tertentu perlu dihentikan," katanya dalam ucapan Program Ikrar Bebas Rasuah Badan Sukan Kebangsaan 2021 pagi ini.

Ujarnya, walaupun peratusan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan badan sukan adalah kecil, namun penting untuk semua persatuan bersama-sama bertekad bebas dari amalan tidak bermoral itu.

"Pada tahun 90an, sekitar tahun 1994 dan 1995, arena sukan negara digemparkan dengan skandal rasuah sukan bola sepak, imej sukan negara tercalar apabila lebih 100 pemain dan pegawai pasukan didapati bersalah terlibat dengan skandal tidak bermoral itu.

"Skandal rasuah ini atau skandal mengatur perlawanan dianggap terbesar dalam sejarah bola sepak Malaysia mengakibatkan ada pemain yang dikenakan hukuman buang daerah, penggantungan seumur hidup daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Tambah Ahmad Faizal, kesan rasuah atau mengatur perlawanan akan merosakkan imej sukan, jika berterusan tanpa sebarang pencegahan atau kawalan, kepercayaan peminat sukan akan menjadi semakin luntur, hubungan dalam pasukan itu sendiri menjadi buruk, dan akhirnya mutu sukan negara semakin merosot.

"Rasuah juga bukan sahaja memberikan kesan yang negatif kepada sukan, tetapi individu yang terbabit juga akan terkesan seperti hilang kerjaya, terpalit dengan miskin moral dan maruah rendah, keharmonian rumah tangga turut porak peranda dan menyebabkan keluarga terabai.

"Dalam konteks yang lebih luas, amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa akan menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran.

"Ia juga akan menjejaskan sosial serta kestabilan politik, keselamatan, fokus perancangan dan pelaksanaan pembangunan menjadi tidak seimbang, keadaan ini akan menurunkan mutu dan kualiti kerja atau perkhidmatan yang dihasilkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 2:27 PM