DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO NSTP
DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pesanan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk membendung gejala rasuah dalam badan sukan negara disambut baik persatuan sukan kebangsaan.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, persatuan itu sendiri pernah dihantui gejala tidak bermoral itu dan sebagai badan induk bola sepak kebangsaan, tentunya peristiwa itu enggan diulangi semula.

"Dalam bola sepak pernah berlaku tragedi ini apabila sekumpulan pemain terbabit dalam rasuah bola sepak dan mengatur perlawanan. Itu satu tragedi hitam dalam bola sepak," katanya ketika ditemui media di Program Ikrar Bebas Rasuah Badan Sukan Kebangsaan 2021 semalam.

Ujarnya, akhir-akhir ini tidak lagi kedengaran mengenai isu rasuah bola sepak dan harap perkara ini benar-benar terhakis ataupun terhapus daripada arena sukan berkenaan.

"Saya harap ia kekal berkekalan dan bola sepak dimajukan kerana tidak tak mahu rasuah membantutkan usaha kita bagi meletakkan bola sepak ke tahap lebih baik daripada apa kita lalui sekarang," kata Yusoff.

Sementara itu, Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro mengakui usaha yang dilakukan oleh KBS itu adalah satu langkah yang baik.

"Saya rasa ia satu inisiatif yang bagus dan kita menyokongnya. Di SRAM dan skuasy, kita tidak mempunyai ruang untuk rasuah dan usaha ini disokong penuh oleh SRAM," katanya.

Ahmad Faizal berkata semalam rasuah adalah amalan yang tidak sihat dan wajar disisihkan dalam tadbir urus badan sukan kebangsaan.

Menurut beliau, salah guna kuasa dan rasuah bukan sahaja bermotifkan mendapatkan habuan kewangan, malah boleh berlaku apabila seseorang pemegang jawatan berhasrat untuk terus kekal berkuasa di dalam sesuatu badan sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 5:37 PM