AZAM (tiga dari kanan) dan Ahmad Faizal (empat dari kanan) pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Badan Sukan Kebangsaan 2021 di Stadium Juara, Bukit Kiara. Gambar Ihsan KBS
AZAM (tiga dari kanan) dan Ahmad Faizal (empat dari kanan) pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Badan Sukan Kebangsaan 2021 di Stadium Juara, Bukit Kiara. Gambar Ihsan KBS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemimpin persatuan sukan negara diingatkan untuk tidak memberikan tender atau projek kepada kroni mahupun ahli keluarga mereka dalam setiap program atau kejohanan sukan yang dianjurkan.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, setiap pentadbir badan sukan terikat sebagai badan awam dan setiap tindakan atau dana yang digunakan tidak boleh memberi faedah kepada diri sendiri dan ahli keluarga.

"Sekecil-kecil tender pemasangan khemah dalam kejohanan sukan, jika diberikan kepada ahli keluarga adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta SPRM 2009," katanya ketika ditemui di Program Ikrar Bebas Rasuah Badan Sukan Kebangsaan 2021, hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.Azam berkata, dalam kes membabitkan badan sukan negara, mereka melihat kepada tadbir urus yang dilakukan sekiranya menyalah guna pelantikan dana yang diberikan kepada badan itu. Sementara itu, Ahmad Faizal mengakui rasuah adalah amalan yang tidak sihat dan wajar disisihkan dalam tadbir urus badan sukan kebangsaan.

Menurut beliau, salah guna kuasa dan rasuah bukan sahaja bermotifkan mendapatkan habuan kewangan, malah boleh berlaku apabila seseorang pemegang jawatan berhasrat untuk terus kekal berkuasa di dalam sesuatu badan sukan. "Kecenderungan amalan salah guna kuasa dalam mempertahankan jawatan yang di sandang dalam badan sukan dengan menjanjikan habuan atau jawatan tertentu perlu dihentikan," katanya dalam ucapan ketika program itu.

Beliau berkata, walaupun peratusan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan badan sukan adalah kecil, namun penting untuk semua persatuan bersama-sama bertekad bebas daripada amalan tidak bermoral itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 10:09 PM