PRESIDEN Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.
PRESIDEN Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pihak yang melaporkan kes ke atas Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pastinya sudah menyediakan bukti secukupnya bagi membolehkan kertas siasatan dibuka.

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, semua pihak terutamanya pengurusan tertinggi KLFA perlu memberi kerjasama bagi melengkapkan siasatan termasuk tidak sepatutnya memberi reaksi ketika siasatan sedang dijalankan SPRM.

"Saya percaya laporan (kepada SPRM) yang dibuat oleh pihak tertentu itu kerana mempunyai bukti yang kukuh untuk disiasat.

"Pengurusan KLFA boleh menafikan dakwaan di media tetapi sepatutnya mereka menghormati pihak SPRM dengan tidak mendahului siasatan.

"Inilah yang saya sifatkan sebagai elemen politik, yang di bawa oleh orang politik ke dalam industri sukan.

"Bila orang politik berada dalam sukan, mereka juga cuba membawa elemen sama di dalam sukan yang tidak wajar diheret. Sukan tidak boleh disamakan dengan dunia politik, kerana ia akan merosakkan perkembangan sukan dalam negara," katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, laporan ekslusif Arena Metro mendedahkan pejabat KLFA diserbu pegawai SPRM baru-baru ini kerana disyaki wujud unsur pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan wang tajaan Kuala Lumpur City FC (KL City) dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati, dengan anggaran jutaan ringgit.

Malah, kehadiran SPRM itu turut disahkan Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dan tidak akan menyorokkan apa-apa maklumat.

Berdasarkan fakta kes, difahamkan tanah Akademi KLFA sudah diserahkan kepada pihak swasta, Suede Realty.

Untuk tujuan itu, Suede Realty mengeluarkan dana jutaan ringgit kepada KLFA sebagai hasil kerjasama itu.

Namun, masalah tunggakan gaji membabitkan pemain KL City pada awal musim ini, menyaksikan pegawai atasan mengubah perjanjian dengan pihak lain tanpa proses yang betul.

Difahamkan tanah itu kemudiannya diberikan kepada Sinmah Properties Sdn Bhd dengan nilai jutaan ringgit.

Malah, Arena Metro yang menghubungi Pengarah Kanan Siasatan, SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim turut mengesahkan siasatan sedang dijalankan ke atas persatuan bola sepak itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Jelas Jais lagi, sukan juga antara bidang yang terdedah dengan unsur rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah, yang mampu menjana jutaan ringgit buat pengamal rasuah.

Justeru, beliau berharap masyarakat atau penggiat sukan tanah air yang berasa curiga, syak dan bukti untuk tampil ke depan dengan membuat laporan kepada SPRM bagi membendung isu ini daripada menjadi barah.

"Bukan lagi rahsia di mana melalui aktiviti sukan ia boleh menjana keuntungan yang besar. Contohnya dalam bola sepak, wujudnya unsur mengatur perlawanan oleh bookie, dan pemain atau pegawai pasukan yang terbabit boleh mendapat keuntungan daripada kegiatan haram itu.

"Malah, datuk Lee Chong Wei juga pernah menyatakan secara terbuka wujudnya elemen bookie dalam sukan badminton pada tahun lalu. Kegagalan melaporkan cubaan merasuah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009, dan ia mesti disiasat dakwaan itu," katanya.

Ujarnya lagi, kepekaan dan kesedaran tentang keburukan amalan rasuah perlu difahami semua pihak termasuk penggiat sukan kerana ia boleh merosakkan industri ini.

"Cuba bayangkan kalau wujud elemen rasuah, mengatur perlawanan, pecah amanah dan salah guna kuasa sama ada ketika perlawanan mahupun pengurusan persatuan, sudah semestinya negara tidak dapat melahirkan atlet terbaik lagi.

"Kalau dah asyik kalah dalam pertandingan saja (sebab mengatur perlawanan), siapa yang nak datang sokong. Kemudian kalau persatuan pula terbabit dengan salah guna kuasa, dah tentu pengurusan persatuan jadi tak betul dan tiada pembangunan sebaiknya.

"Saya menyeru kalau boleh setiap persatuan atau kelab membuat ikrar sumpah jauhi rasuah dan bekerjasama rapat dengan pegawai SPRM dalam apa-apa pertandingan atau aktiviti bookie dapat dijauhi, bukan saja kepada atlet bahkan pentadbir persatuan juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 2:32 PM