POS tampil sekali lagi memutuskan untuk memecat Muthu daripada memegang sebarang jawatan di dalam badan induk itu. FOTO NSTP
POS tampil sekali lagi memutuskan untuk memecat Muthu daripada memegang sebarang jawatan di dalam badan induk itu. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kemelut isu membabitkan Persatuan Olahraga Selangor (POS) bersama Presidennya Datuk SM Muthu semakin tegang dengan kali ini POS tampil sekali lagi memutuskan untuk memecat Muthu daripada memegang sebarang jawatan di dalam POS.

Keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Induk POS melalui Jawatankuasa Kecil Tatatertib yang ditubuhkan berlandaskan perlembagaan POS sebulat suara menyokong usul berkenaan.

Selain daripada Muthu turut dipecat daripada memegang jawatan POS adalah bekas bendahari, Mohd Fauzi Manivannan Abdullah dan bekas setiausaha, Abdul Rahim Mohd Noor.

Keputusan itu diambil selepas mereka didapati bersalah kerana melakukan kesalahan penyelewengan wang POS seperti mana yang tersenarai dalam surat tunjuk sebab yang dihantar kepada tiga individu berkenaan bertarikh 16 November.

Penolong Setiausaha Kehormat N Rajagopal dalam satu kenyataan memaklumkan surat tunjuk sebab sudah dihantar kepada Muthu namun tiada sebarang jawapan malah Muthu turut tidak hadir ke mesyuarat jawatankuasa tatatertib berkenaan.

"Mesyuarat jawatankuasa tatatertib mendapati bahawa beliau (Muthu) bersalah ke atas tuduhan terhadap beliau.

"Beliau diberi tempoh 14 hari untuk merayu sebelum atau pada 3 Disember mengikut Fasal 13.6 perlembagaan POS sebelum jawatankuasa membuat keputusan muktamad di bawah Fasal 13.7 perlembagaan POS .

"Saya juga ingin mengesahkan bahawa Muthu tidak lagi memegang jawatan sebagai Presiden POS berpandukan keputusan jawatankuasa tatatertib berkenaan dan beliau tidak dibenarkan campur tangan dalam segala urusan POS berkuat kuasa serta merta," katanya.

Pada 24 Oktober lalu, POS menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan menyingkirkan Muthu daripada jawatan presiden persatuan itu dan menarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap badan induk berkenaan.

Namun Muthu tampil mendakwa bahawa beliau masih lagi sah sebagai presiden POS berikutan EGM yang dilakukan itu adalah tidak sah seperti yang termaktub dalam perlembagaan POS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 2:21 PM