Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tindakan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof membatalkan pendaftaran Persatuan Olahraga Selangor (POS) dianggap seperti tidak menghormati mahkamah.

Ketika kes permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kesahihan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, 12 Disember tahun lalu masih berlangsung, PJS mengambil tindakan untuk membatalkan POS.

Ia secara tidak langsung akan menjejaskan penyertaan puluhan atlet yang bernaung di bawa POS yang berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Sukan Malaysia (Sukma) September ini.

Justeru bekas Presiden POS, Nurhayati Karim memohon kerjasama daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mengambil tindakan dengan membatalkan notis pembatalan berkenaan.

"Satu surat permohonan pembatalan bertarikh 20 April 2022 sudah dihantar kepada menteri.

"Kami merayu supaya menteri (Faizal Azumu) membuat keputusan yang adil, saksama dan suci hati terhadap rayuan kami.

"Ini kerana kepentingan atlet, jurulatih dan pegawai sukan olahraga di seluruh Selangor akan terjejas dengan pembatalan POS termasuklah penyertaan atlet ke Sukma akan turut terancam," katanya.

Tegasnya, hanya Ahmad Faizal yang mempunyai kuasa untuk membatalkan notis pembatalan POS itu dan sekiranya tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak kementerian Nurhayati menimbang untuk membawa perkara berkenaan ke muka pengadilan.

"Sekarang ini semua keputusan di tangan menteri dan hanya menteri yang boleh meleraikan kekusutan ini. Kami yakin YB (yang berhormat) menteri akan dapat membantu meleraikan kekusutan ini dengan adil dan saksama serta suci hati.

"Kami akan terus berjuang untuk menuntut keadilan secara perundangan dengan nasihat peguam untuk mempertahankan POS sebagai persatuan tertua di Malaysia," katanya.

Terdahulu Ibrahim menerusi laporan Arena Metro menyatakan segala pemilihan termasuk kepemimpinan terdahulu POS adalah tidak sah.

Ini bermakna, kepimpinan yang dilantik pada AGM tahun lalu yang menyaksikan Norhayati diumum selaku presiden tidak terpakai.

Pemilihan baharu itu diadakan berikutan kepimpinan POS bergolak selepas persatuan terbabit memutuskan untuk memecat Muthu selaku presiden daripada memegang sebarang jawatan di dalam badan induk olahraga negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 4:00 PM