SM Muthu menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, bulan lalu. FOTO Owee Ah Chun
SM Muthu menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, bulan lalu. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tanda tanya mengenai kedudukan Datuk SM Muthu selaku Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS) terjawab apabila beliau masih lagi menjawat jawatan berkenaan dengan sah.

Ia sekali gus mengetepikan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) badan induk itu 24 Oktober lalu dan pengesahan itu dibuat hasil daripada pertemuan beliau dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof, hari ini.

"Dalam mesyuarat yang berlangsung pada jam 4.30 petang itu, saya dimaklumkan oleh beliau (Ibrahim) yang PJS sudah mengadakan mesyuarat dengan Varughese Abraham (Naib Presiden POS) dan N Rajagopal (Penolong Setiausaha POS) pada 10.30 pagi hari yang sama.

"PJS memaklumkan kepada mereka bawaha EGM yang diadakan pada 24 Oktober lalu adalah tidak mengikut prosedur yang ditetapkan dalam perlembagaan POS dan segala keputusan yang diambil di dalam EGM adalah tidak sah dan terbatal.

"Selain itu, beliau memaklumkan bahawa saya masih Presiden POS yang sah," kata Muthu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Muthu yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) turut memaklumkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) POS bagi tahun 2021 dan pemilihan Ahli Jawatankuasa Induk bagi penggal 2021 hingga 2024 akan diadakan sepertimana yang sudah dipersetujui oleh AJK Induk iaitu pada 12 Disember depan.

"Sila ambil maklum bahawa tidak ada mesyuarat yang akan diadakan pada 7 November (Ahad ini) dan saya akan mengadakan satu Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Induk untuk mengesahkan tarikh AGM berkenaan," katanya.

Pada 24 Oktober lalu, POS menerusi EGM yang diadakan menyingkirkan Muthu daripada jawatan presiden persatuan itu dan menarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap badan induk berkenaan.

Usul sama juga dibuat terhadap bekas bendahari, Mohd Fauzi Manivannan Abdullah dan bekas setiausaha, Abdul Rahim Mohd Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 9:25 PM