SM Muthu ketika sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi.  FOTO Owee Ah Chun
SM Muthu ketika sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS), Datuk SM Muthu yang disingkirkan daripada memegang jawatan itu dan keahlian seumur hidupnya ditarik balik menegaskan bahawa beliau masih presiden sah.

Muthu menegaskan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dianjurkan POS kelmarin adalah tidak sah dan melanggar peraturan dalam perlembagaan POS.

Malah beliau menafikan dakwaan penyelewengan duit sebanyak RM110,000 sebaliknya mendakwa berjaya membawa masuk sebanyak RM54,000 kepada persatuan dengan baki di dalam akaun mencecah RM180,000.

Berikutan tuduhan berkenaan, Muthu yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi semalam supaya dapat membersihkan namanya dan mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap fitnah yang dilemparkan kepadanya.

"Ini cubaan tidak bertanggungjawab dan berniat jahat untuk memburuk-burukkan nama baik saya. Ia dilakukan kurang dua minggu daripada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang sepatutnya diadakan pada 7 November ini agar saya tidak lagi dipilih sebagai presiden POS untuk penggal 2021-2023.

"Mengikut perlembagaan POS, EGM tidak membenarkan pemecatan mana-mana pemegang jawatan melalui mesyuarat berkenaan seperti mana yang dilakukan oleh mereka sebelum ini (24 Oktober)," katanya yang akan turut membawa perkara itu kepada Pesuruhjaya Sukan minggu depan.

Tegas Muthu, banyak yang sudah dilakukan kepada POS selama berkhidmat lebih daripada 10 tahun dan turut menggunakan wang sendiri untuk pembangunan sukan olahraga Selangor.

''Untuk pengetahuan, dana dalam akaun POS sememangnya tidak mencukupi. Saya banyak membantu POS dengan menyumbangkan wang sendiri demi pembangunan POS memandangkan sejak saya mengambil alih tugas presiden POS dana POS memang tidak mencukupi.

"Wang RM110,000 yang kononnya diseleweng itu saya gunakan untuk melabur dan mencari dana buat POS. Saya sudah bincang dengan setiausaha, timbalan dan POS. Daripada RM110,000 saya sudah berjaya bawa RM54,000 ke dalam akaun yang kini sudah menjangkau RM180,000. Apa yang saya lakukan mengikut perlembagaan POS," katanya yang turut ditemani peguam T Kumar.

Semalam, Muthu disingkirkan daripada jawatan presiden persatuan itu dan ditarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM110,000 daripada akaun simpanan tetap POS.

Keputusan terhadap Muthu dan dua lagi pegawai POS dibuat secara sebulat suara dalam EGM persatuan itu yang dihadiri 39 ahli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 10:34 PM