Datuk SM Muthu
Datuk SM Muthu
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu menegaskan dia tidak gentar dengan tindakan Persatuan Olahraga Selangor (POS) menerusi bendahari persatuan itu R Murugan yang dilaporkan turut membuat laporan polis.

Muthu ketika dihubungi berkata, biar apapun tindakan mereka, beliau tetap dengan pendiriannya dan masih lagi bergelar Presiden Olahraga Selangor (POS).

"Biarlah mereka nak buat laporan polis pun. Itu mereka punya hal, apa kita mahu peduli sama mereka," katanya.

Beliau memaklumkan sedang menunggu maklum balas daripada pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk makluman yang lebih jelas mengenai status kedudukannya.

Terdahulu, Muthu menjelaskan bahawa dia masih lagi Presiden POS yang sah kerana Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dianjurkan minggu lalu adalah tidak sah dan melanggar peraturan dalam perlembagaan POS.

Namun Naib Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS), Varughese Abraham membidas tindakan Muthu dengan berkata Muthu gagal memahami pengurusan POS seperti yang dinyatakan di bawah Fasal 17(17.1) (perlembagaan POS).

Ahad lalu, EGM persatuan memutuskan Muthu dilucutkan jawatan presidennya dan keahlian seumur hidup selepas 39 ahli gabungan bersetuju sebulat suara dengan keputusan itu.

Usul yang sama dibuat terhadap Rahim dan bekas bendahari Mohd Fauzi Manivannan.

Varughese menambah dakwaan bahawa EGM adalah menyalahi undang-undang adalah tidak benar, kerana 16 ahli gabungan yang berdaftar secara rasmi menandatangani permintaan untuk mesyuarat itu yang salinannya dikemukakan oleh jawatankuasa utama kepada pesuruhjaya sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 2:52 PM