NORHAYATI (dua kanan) menang tanpa bertanding Presiden POS. FOTO POS
NORHAYATI (dua kanan) menang tanpa bertanding Presiden POS. FOTO POS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemelut yang melanda Persatuan Olahraga Selangor (POS) boleh dikatakan selesai apabila bekas atlet Kuala Lumpur Norhayati Karim dipilih menerajui badan induk olahraga negeri itu.

Malah, pemilihan Norhayati itu boleh dikatakan mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik menerajui persatuan olahraga di negara ini yang sebelum ini hanya diterajui oleh lelaki saja.

Norhayati yang juga anak kepada bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim menang tanpa bertanding sekali gus menerajui kepimpinan POS yang sebelum ini dipimpin oleh Datuk SM Muthu.

Norhayati berkata, beliau mahu membawa perubahan dalam persatuan negeri itu dengan memberi keutamaan kepada kebajikan atlet dan jurulatih bagi memastikan mereka mampu mencipta kejayaan di peringkat lebih tinggi.

"Sebagai Presiden POS, saya bertekad untuk menghapuskan semua perbezaan yang boleh menghancurkan Olahraga Selangor. POS akan ditadbirkan secara adil saksama dalam semua aspek pentadbirannya.

"Kami akan berjuang kuntuk mempertahankan POS sebagai sebuah badan sukan yang bersih, berintergriti dan mempunyai akauntabiliti dalam aspek kewangan mahupun kuasa.

"Pada masa sama, saya berjanji akan memastikan setiap dana, insentif dan sumber kewangan POS memanfaatkan atlit, jurulatih dan warga olahraga Negeri Selangor," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung POS bagi Penggal 2021-2024.

Selain itu, ketika ditanya mengenai kemelut yang melanda POS sebelum ini, Norhayati berkata, kepimpinan terbaharu tidak mahu mencampuri urusan berkenaan dan mahu fokus kepada memperbaiki dan mempertingkatkan lagi kualiti atlet Selangor.

"Kita mengharapkan pemilihan jawatankuasa dan kepimpinan baharu akan terus majukan persatuan. Berkaitan kemelut lama saya percaya pihak berkuasa akan mengadakan siasatan.

Terdahulu, kepimpinan POS bergolak apabila persatuan terbabit memutuskan untuk memecat Muthu daripada memegang sebarang jawatan di dalam badan induk olahraga negeri itu.

Keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Induk POS melalui Jawatankuasa Kecil Tatatertib yang ditubuhkan berlandaskan perlembagaan POS sebulat suara menyokong usul berkenaan.

Selain daripada Muthu turut dipecat daripada memegang jawatan POS adalah bekas bendahari, Mohd Fauzi Manivannan Abdullah dan bekas setiausaha, Abdul Rahim Mohd Noor.

Mengikut rekod,Pada 24 Oktober lalu, POS menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan menyingkirkan Muthu daripada jawatan presiden persatuan itu dan menarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap badan induk berkenaan.

Namun Muthu tampil mendakwa bahawa beliau masih lagi sah sebagai presiden POS berikutan EGM yang dilakukan itu adalah tidak sah seperti yang termaktub dalam perlembagaan POS.

Sementara itu, pada Mesyuarat Agung terbabit, Muthu dan beberapa kepimpinan terdahulu tidak hadir bagi mempertahankan jawatan masing-masing sekali gus semua individu baharu yang dipilih menang tanpa bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 10:41 PM