SM Muthu
SM Muthu
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: "Saya tidak akan berganjak daripada jawatan sebagai Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS)."

Itu pendirian Datuk SM Muthu terhadap desakan pihak tertentu yang mahu beliau melepaskan jawatan berkenaan dalam masa terdekat ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Induk POS melalui Jawatankuasa Kecil Tatatertib yang ditubuhkan berlandaskan perlembagaan badan induk itu sebulat suara menyokong usul pemecatan beliau daripada kerusi nombor satu persatuan terbabit.

Muthu yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia berkata, jika pihak berkenaan mahukan jawatan itu perlulah lawan cara betul dengan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan POS.

"Saya masih lagi memegang jawatan presiden dan apa yang mereka lakukan (usul pemecatan) tidak sah kerana bukannya mengikut perlembagaan persatuan.

"Saya turut hairan bagaimana mereka boleh mengadakan dua kali usul pemecatan presiden. Jika nak pecat pun sekali sudah cukup," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pemecatan Muthu itu berikutan dakwaan melakukan penyelewengan wang POS seperti dalam surat tunjuk sebab yang dihantar kepada beliau bertarikh 16 November lalu.

Selain Muthu, turut dipecat daripada memegang sebarang jawatan dalam POS adalah bekas bendahari, Mohd Fauzi Manivannan Abdullah dan bekas setiausaha, Abdul Rahim Mohd Noor.

Pada 24 Oktober lalu, POS menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan menyingkirkan Muthu daripada jawatan presiden persatuan itu dan menarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap badan induk berkenaan.

Bagaimanapun, Muthu tampil mendakwa bahawa beliau masih lagi presiden POS berikutan EGM yang dilakukan itu adalah tidak sah seperti termaktub dalam perlembagaan persatuan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 10:34 PM