RATU terjun negara, Pandelela Rinong membuat terjunan di acara 10 meter platform wanita Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini. FOTO Bernama
RATU terjun negara, Pandelela Rinong membuat terjunan di acara 10 meter platform wanita Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Impian untuk menyaksikan Pandelela Rinong menghadiahkan pingat buat kontinjen negara berakhir selepas ratu terjun negara itu gagal menyerlah di final 10 meter (m) platform individu wanita di Tokyo 2020, hari ini.

Penerjun negara berusia 28 tahun itu hanya mampu mengumpul 245.85 mata untuk menduduki tempat terakhir daripada 12 peserta final.

Bibit kegagalan Pandelela bermula sejak terjunan pertama apabila dia sekadar memungut 18 mata selepas gagal melakukan terjunan dengan sempurna.

Namun dia menebus kesilapan itu di terjunan kedua serta ketiga apabila masing-masing memungut 71.05 mata dan 60.80 mata sebelum kembali merudum mencatatkan 52.80 mata di terjunan keempat dan 43.20 mata di terjunan kelima.

Berdasarkan keputusan terbaru itu, skuad terjun negara tidak dapat menyumbang pingat pada edisi Olimpik kali ini seperti disasarkan kepada mereka.

Seperti dijangka, dua penerjun China, Quan Hongchan dan Chen Yuxi terlalu unggul apabila meraih pingat emas dan perak selepas masing-masing mengumpul 466.20 dan 425.40 mata.

Penerjun Australia, Melissa Wu meraih gangsa dengan mengumpul 371.40 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 3:43 PM