Atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei.
Atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet olahraga negara berjaya membawa pulang dua emas, dua perak dan dua gangsa di Jelajah Benua Memorial Qosanov XXX di Almaty, Kazakhstan, berakhir semalam.

Pengurus pasukan, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, kejohanan itu dilalui dengan sempurna lapan atlet negara yang bersaing dengan lapan lagi atlet dari negara lain.

"Satu keputusan yang memberangsangkan. Lee Hup Wei berjaya menambah markah dan memperbaiki ranking sehingga melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada Julai depan. Tahniah kepada Lee Hup Wei," katanya di media sosial, Facebook, hari ini.

Atlet berusia 34 tahun itu meraih pingat emas selepas melakukan lompatan melepasi ketinggian 2.10 meter (m), jauh di bawah prestasi terbaiknya iaitu 2.29m yang dicatat pada 2019.

Keputusan itu menyaksikan sedikit peningkatan berbanding aksi terbaiknya musim ini iaitu 2.05m di Grand Prix Olahraga Terbuka Malaysia pada April lalu.

Atlet negara, Jonathan Nyepa meraih pingat perak acara 200m di Kazakhstan. FOTO File NSTP
Atlet negara, Jonathan Nyepa meraih pingat perak acara 200m di Kazakhstan. FOTO File NSTP

Satu lagi emas disumbangkan atlet lempar cakera wanita, Choo Kang Ni, manakala pelari 110m berpagar Rayzam Shah Wan Sofian meraih perak.

"Oleh kerana Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi tidak dapat bersama rombongan kali ini, jurulatih Dwayne Miller meletakkan Jonathan Nyepa dan Mohd Ilham Suhaimi dalam acara 200m sebagai bidan terjun.

Jonathan memenangi perak dengan merakam catatan 21.7 saat (s), manakala Ilham pula meraih gangsa melakukan larian 21.92s.

Atlet lompat kijang negara, Hakimi Ismail menduduki tempat keempat selepas melakukan lompatan 15.62m.

Lee Hup Wei meraih emas dalam acara lompat tinggi di Jelajah Benua Memorial Qosanov XXX di Almaty. FOTO Ihsan Wan Hisham Wan Salleh
Lee Hup Wei meraih emas dalam acara lompat tinggi di Jelajah Benua Memorial Qosanov XXX di Almaty. FOTO Ihsan Wan Hisham Wan Salleh

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 6:18 PM