RAYZAM Shah mahu perbaiki rekod larian iaitu sekurang-kurangnya mampu mencipta rekod bawah 14 saat. FOTO NSTP
RAYZAM Shah mahu perbaiki rekod larian iaitu sekurang-kurangnya mampu mencipta rekod bawah 14 saat. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet 110m lari berpagar negara Rayzam Shah Wan Sofian meletakkan sasaran untuk perbaiki rekod larian di kejohanan Olahraga Kosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan.

Rayzam berkata, ketika ini fokus adalah bagi memastikan dia mampu lakukan kejutan pada kejohanan terbabit walaupun berehat terlalu lama berikutan pandemik Covid-19.

Dia berkata, pembabitan di kejohanan peringkat antarabangsa juga mampu meningkatkan tahap keyakinan sebelum temasya Sukan SEA Hanoi bermula November ini.

"Saya mahu perbaiki rekod larian iaitu sekurang-kurangnya mampu mencipta rekod bawah 14 saat apabila beraksi di kejohanan di Kazakhstan.

"Sudah tentu kejohanan itu boleh menjadi antara ukuran terbaik kepada atlet yang sudah lama tidak beraksi dalam sebarang pertandingan kompetitif," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengumumkan untuk menghantar 11 atlet beraksi di Kazakhstan untuk memberi peluang kepada mereka memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan Sea Hanoi selepas saingan Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung 11 hingga 13 Jun terpaksa ditunda susulan peningkatan kes Covid-19.

Cabaran skuad olahraga di Almaty akan diketuai jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa (100 meter lelaki).

Seorang lagi atlet pecut, Khairul Hafiz Jantan turut akan menyertai kejohanan berkenaan tetapi beraksi dalam acara 200m selain Rayzam (110m lari berpagar), Connie Chu Kang Ni (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 9:48 PM