Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan Mohd Manshahar, isteri dan anak lelakinya disahkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu.
Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan Mohd Manshahar, isteri dan anak lelakinya disahkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) terus diburu kebimbangan apabila terkini Pengurus Besarnya pula disahkan positif Covid-19 pada Selasa.

Presiden KOM Datuk SM Muthu berkata pejabat persatuan telah ditutup serta-merta selama 14 hari dan beroperasi dari rumah sementara tiga kakitangan sedang menunggu keputusan ujian saringan.

Dua hari lalu, ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil, isteri dan anak lelakinya disahkan positif Covid-19 pada Sabtu.

"Keputusan ujian saya adalah negatif manakala kakitangan persatuan pula masih menunggu keputusan ujian dan diharap kesemuanya adalah negatif. Saya berada di pejabat sekitar dua jam, memakai pelitup muka setiap masa," katanya ketika dihubungi.

Muthu berkata keadaan Mohd Manshahar semakin pulih manakala atlet kebangsaan yang terbabit dengan program Olimpik dan Sukan Sea meneruskan latihan secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Sementara itu, KOM sedang melakukan yang terbaik dalam usaha memastikan atlet kebangsaan dalam acara trek dan padang layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan.

Muthu berkata adalah penting untuk atlet kebangsaan menyertai Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan dari 19 hingga 20 Jun ini sebelum tarikh akhir kelayakan ke Olimpik pada 29 Jun.

"Setelah sekian lama tanpa kejohanan di luar negara, kejohanan ini sangat penting kepada atlet negara untuk cuba melayakkan diri ke Olimpik dan sebagai persiapan awal menjelang Sukan Sea Hanoi pada November.

"Setakat ini, MSN telah memberikan lampu hijau dan menunggu kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sekarang kita juga menunggu kebenaran daripada Kazakhstan," katanya.

KOM menyenaraikan 11 atlet untuk membawa cabaran skuad olahraga di Almaty diketuai jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei selain Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat jauh) dan Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang).

Turut tersenarai Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa (100 meter lelaki), Khairul Hafiz Jantan (200m) dan Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 5:46 PM