MUTHU mengakui KOM kini sedang memikirkan mekanisma terbaik untuk setiap atletnya yang berpotensi dapat mewakili negara ke Sukan SEA Vietnam. FOTO NSTP
MUTHU mengakui KOM kini sedang memikirkan mekanisma terbaik untuk setiap atletnya yang berpotensi dapat mewakili negara ke Sukan SEA Vietnam. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu menyarankan kepada semua atlet olahraga negara untuk terus kekal fokus dan menjalani latihan seperti biasa.

Bagi yang masih memburu tempat ke temasya Sukan SEA, Muthu berkata, peluang masih terbuka buat semua atlet biarpun kejohanan Terbuka Malaysia sudah ditunda.

KOM kini sedang memikirkan mekanisma terbaik untuk setiap atletnya yang berpotensi dapat mewakili negara ke Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini.

Namun apa yang penting ketika ini adalah memberi peluang kepada atlet yang berpotensi ke temasya Olimpik terlebih dahulu.

"Untuk atlet yang berpotensi KOM akan bawa mereka ke Kejuaraan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan yang akan berlangsung pada 19 hingga 20 Jun ini.

"Fokus utama ketika ini adalah Olimpik terlebih dahulu dan selepas itu baru kita akan memikirkan kelayakan ke Sukan SEA masih terbuka hingga bulan November.

"Jadi jika kes Covid-19 sudah menurun, Terbuka Malaysia dan Kejohanan Remaja Kebangsaan akan dianjurkan dalam tempoh itu, jadi sekarang atlet perlu terus kekal fokus dan menjalani latihan seperti biasa," katanya.

Untuk rekod cabaran skuad olahraga di Almaty nanti akan diketuai jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei selain Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa (100 meter lelaki).

Seorang lagi atlet pecut, Khairul Hafiz Jantan turut akan menyertai kejohanan berkenaan tetapi beraksi dalam acara 200m selain Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Connie Chu Kang Ni (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:29 PM